Malaysia cadang IZO dihidupkan semula, selaras dana zakat antarabangsa

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

TURKIYE, 8 November -Malaysia mencadangkan agar International Zakat Organization (IZO) dihidupkan semula sebagai platform penyelarasan dana zakat antarabangsa bagi membantu memperkukuh sosioekonomi masyarakat Islam di seluruh dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meneroka mekanisme menyalurkan faedah petrodollar yang tidak dituntut ke World Zakat Organization melalui rundingan dengan institusi kewangan antarabangsa.
  • Dana zakat dijangka diagihkan kepada lapan golongan asnaf di negara miskin dan komuniti Muslim minoriti bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi.
  • Malaysia dan Turkiye memperkukuh kerjasama strategik dalam industri halal, memanfaatkan pengalaman pensijilan Malaysia untuk perluasan pasaran global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu antara perkara yang dibincangkan dalam lawatan kerjanya ke
Turkiye bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8), Sohail Mahmood.

Menurutnya, inisiatif berkenaan pernah dicadangkan ketika pentadbiran mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menjelaskan IZO berpotensi digerakkan menerusi sumbangan negara Islam kaya, selain meneroka mekanisme penyaluran faedah deposit hasil minyak “petrodolar” di bank-bank antarabangsa yang tidak dituntut pemiliknya kerana larangan riba.

“Cadangan ini bertujuan mengumpulkan dana zakat daripada negara-negara Islam yang kaya, khususnya dana petrodolar yang disimpan di bank perdagangan serta institusi kewangan lain.

Memandangkan faedah daripada simpanan atau deposit bank tidak diambil kerana dianggap sebagai riba, rundingan boleh diadakan bagi membolehkan dana berkenaan disalurkan kepada World Zakat Organization.

Seterusnya, dana itu dapat diagihkan kepada negara-negara Islam yang miskin serta negara yang mempunyai masyarakat Islam minoriti, bagi membantu golongan asnaf yang lapan di negara berkenaan.

“Usaha itu sekali gus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena mengakhiri lawatan kerjanya di Istanbul.

Sistem petrodolar merujuk kepada penggunaan Dolar Amerika Syarikat (USD) sebagai mata wang utama dalam urus niaga minyak di peringkat global.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dana berkenaan seterusnya boleh diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak di negara Islam miskin serta negara yang mempunyai komuniti minoriti Muslim, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata cadangan itu antara perkara utama yang dibincangkannya sewaktu menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Sohail Mahmood pada 6 November lepas.

Mengimbau sejarah organisasi itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata beliau pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah IZO sewaktu memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2008.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid , pada ketika itu, inisiatif strategik Malaysia berkenaan dirangka di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan sasaran awal mengumpul dana RM10 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi khidmat nasihat firma kewangan antarabangsa.

Selain penyelarasan zakat global, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata Malaysia turut mengadakan perbincangan terperinci bagi memperkukuh kerjasama strategik dengan Turkiye dalam industri halal antarabangsa.

Beliau berkata berbekalkan pengalaman luas selama 52 tahun dalam pensijilan halal, Malaysia berhasrat memperluas jaringan dan penembusan produk halal ke pasaran dunia yang semakin berkembang pesat.

“Turkiye mempunyai pengeluaran produk halal yang meluas, bukan sahaja dalam sektor makanan dan minuman, malah perubatan, kosmetik dan vaksin. Dengan pasaran halal global dianggarkan bernilai USD1.3 trilion menjelang 2030, Malaysia perlu mengambil peluang memperkukuh kerjasama dengan Turkiye dan negara Islam lain,” katanya.

Terdahulu, lawatan kerja empat hari Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dari 5 hingga 8 November memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Turkiye menerusi kerjasama diplomatik, perdagangan, pertahanan dan pendidikan, selain penyertaan beliau dalam TRT World Forum 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.