
KLANG, 8 November – Amalan berkumpul bersama keluarga besar dan mengekalkan tradisi turun-temurun terus menjadi sebahagian daripada sambutan Deepavali, meskipun gaya hidup masyarakat semakin berubah seiring kemajuan teknologi.
- Deepavali sebagai peluang mengeratkan hubungan keluarga dan menziarahi sanak-saudara yang jarang berjumpa.
- Kenangan berkumpul menyediakan juadah, seperti membuat muruku, menyatukan generasi dan meriahkan sambutan.
- Amalan berkumpulan perlu diteruskan supaya generasi muda menghargai nilai kebersamaan, budi pekerti dan menghormati golongan tua.
- Pelihara tradisi sepanjang tahun, hubungi keluarga, hargai asal usul serta pengorbanan nenek moyang untuk elak pengaruh negatif.
Menerusi tinjauan RTM di kediaman sebuah keluarga masyarakat India, Mathivanan, generasi kedua dalam keluarga itu berkata, sambutan Deepavali menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, terutama dalam kalangan sanak-saudara yang jarang berjumpa kerana kesibukan harian.
“Adakalanya, kita sudah lama tidak berjumpa. Jadi, apabila dapat berkumpul, itulah peluang untuk kita bertanya khabar, berkongsi cerita dan berbincang tentang pelbagai perkara,” katanya kepada RTM.
Senada dengan pandangan itu, Nanthini yang merupakan generasi ketiga dalam keluarga berkenaan berkata, beliau merindui suasana sambutan Deepavali ketika kecil, terutama tradisi berkumpul bersama sanak-saudara untuk menyediakan juadah perayaan sehari sebelum Deepavali.
Tambahnya, amalan berkumpul bersama keluarga perlu diteruskan supaya generasi muda terus menghargai nilai kebersamaan, berbudi pekerti dan menghormati golongan lebih tua.
“Zaman dahulu, keluarga sebelah ibu saya akan berkumpul sehari sebelum Deepavali. Kami akan membuat muruku bersama-sama, kira-kira 50 orang berkumpul di sana. Ramai saudara-mara untuk berbual, bermain, menyanyi dan meluangkan masa bersama. Namun, suasana seperti itu sudah tiada lagi pada zaman sekarang.
“Kita perlu kembali mengamalkan kehidupan berkeluarga besar dan tidak membiarkan hubungan kekeluargaan itu terputus. Sekurang-kurangnya, luangkan masa untuk berkumpul bersama semua saudara-mara, walaupun hanya sekali setahun,” jelasnya.
Sementara itu, ahli keluarga berkenaan, Sauntharakumaran, berpandangan bahawa penghayatan tradisi Deepavali perlu dipupuk secara berterusan dan bukan hanya pada hari perayaan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengutamakan masa bersama keluarga ketika Deepavali untuk kembali mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga.
“Deepavali bukan sekadar perayaan yang disambut sehari. Sebaliknya, ia merupakan hasil daripada amalan dan perbuatan kita sepanjang tahun. Apabila kita melakukan perkara yang baik sejak awal tahun, segala-galanya akan berjalan dengan baik pada waktunya, menjelang Deepavali. Oleh itu, nilai-nilai ini bukan sesuatu yang boleh diajarkan hanya pada satu-satu masa.
“Di mana sahaja kita berada di dunia ini, hubungilah keluarga dan jangan lupakan asal usul kita. Hargailah pilihan serta pengorbanan nenek moyang kita. Saya percaya, itulah cara terbaik untuk kita menjauhkan diri daripada pengaruh negatif dunia, dengan terus mendampingi insan yang sangat bermakna dalam kehidupan kita,” katanya.