
KUALA LUMPUR, 8 November –Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman siber dengan melaksanakan pemantauan berterusan selama 24 jam menerusi National Cyber Coordination Command Centre.
- Tahap ancaman siber negara kekal pada paras sederhana, tiada peningkatan mendadak dalam insiden serangan siber.
- NACSA menggesa ketua sektor dan entiti infrastruktur kritikal meningkatkan pemantauan serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman.
- Jumlah pengesanan tinggi tidak semestinya bermaksud pencerobohan; peta Cyberthreat Live Map Kaspersky berdasarkan produk tertentu sahaja.
- Peranan Malaysia sebagai hab pusat data menyumbang trafik antarabangsa tinggi, mempengaruhi jumlah pengesanan; NACSA terus memantau dan meningkatkan daya tahan NCII.
Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, tahap ancaman siber negara ketika ini kekal pada paras sederhana atau moderate, tanpa sebarang peningkatan mendadak dalam insiden serangan siber.
“Pada masa sama, kita telah meminta ketua sektor serta semua entiti infrastruktur kritikal negara meningkatkan pemantauan, khususnya dari segi kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang ancaman.
“Buat masa ini, keadaan masih terkawal. Kita juga mengekalkan tahap ancaman siber negara (National Cyber Threat Level) pada tahap sederhana (Moderate) kerana belum terdapat sebarang peningkatan mendadak dalam serangan terhadap keselamatan siber negara,” katanya ketika dihubungi pemberita RTM.
Jelasnya lagi, NACSA bagaimanapun kekal bersiap siaga melaksanakan langkah proaktif bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikawal dan tidak menjejaskan keselamatan negara secara keseluruhan.
Dalam pada itu, jumlah pengesanan ancaman siber yang tinggi tidak semestinya menggambarkan sesebuah negara mengalami insiden pencerobohan sistem.
Beliau memaklumkan, paparan Cyberthreat Live Map kendalian Kaspersky hanya berdasarkan pemantauan produk dan platform keselamatan siber tertentu, justeru tidak mencerminkan keseluruhan situasi keselamatan siber negara.
Kedudukan Malaysia sebagai antara hab pusat data penting global turut menyebabkan sejumlah besar trafik internet antarabangsa melalui negara ini, sekali gus mempengaruhi jumlah pengesanan ancaman.
Tambahnya lagi, NACSA terus memantau perkembangan ancaman siber, selain memastikan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan daya tahan keselamatan siber.