
KUALA LUMPUR, 8 November – Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC mengesahkan pertemuan di pentas final Piala FA 2026 selepas masing-masing menyingkirkan DPMM FC serta Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua malam ini.
- JDT membelasah DPMM 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim; mara dengan agregat 8-1.
- Kuching City menewaskan Selangor 2-0 di tempat sendiri selepas penalti Safawi dan gol sendiri Mukhairi.
- Kedua-dua pasukan sah berentap di final Piala FA, dengan JDT sebagai juara lima kali pilihan.
JDT, juara lima kali kejohanan itu, membelasah DPMM 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri untuk mara dengan agregat 8-1 manakala Kuching City menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Taha Ariffin, Kuching sekali gus mencatat kemenangan agregat 3-2.
JDT membuka tirai jaringan menerusi tandukan Joao Figueiredo pada minit ke-27 sebelum DPMM menyamakan kedudukan melalui Jordan David Murray empat minit selepas babak kedua bermula.
Bagaimanapun, Manuel Hidalgo kembali meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-59 sebelum Oscar Arribas dan Jairo masing-masing menambah jaringan pada minit ke-64 serta ke-66.
Muhammad Daniesh Amiruddin kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 sebelum Marcos Guilherme melengkapkan kemenangan besar tuan rumah pada masa kecederaan.
Sementara itu, Kuching City yang ketinggalan 1-2 selepas aksi separuh akhir pertama bangkit mempamerkan aksi bertenaga di hadapan lebih 15,000 penonton untuk mengesahkan kemaraan ke final.
Muhammad Safawi Rasid membuka jaringan buat Kuching City menerusi sepakan penalti pada minit ke-56 sebelum terpaksa menunggu sehingga masa tambahan selepas keputusan 1-0 dalam tempoh 90 minit menyaksikan agregat terikat 2-2.
Gol sendiri pemain Selangor Mukhairi Ajmal ketika masa tambahan bagaimanapun memastikan kemenangan 2-0 buat skuad The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak.
Keputusan itu menyaksikan JDT dan Kuching City bakal bertemu dalam perlawanan akhir bagi merebut gelaran juara Piala FA 2026 pada 16 Jan depan. — BERNAMA