Hakim Danish raih sembilan mata di GP Qatar

Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli

KUALA LUMPUR, 8 November – Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli menamatkan saingan perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar di tempat ketujuh di Litar Antarabangsa Lusail hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memulakan perlumbaan dari petak ketujuh dan mengekalkan kedudukan sama sepanjang 16 pusingan.
  • Meraih sembilan mata tambahan, mengumpul keseluruhan 125 mata dan kini berada di tangga kelapan keseluruhan Moto3.
  • Akan meneruskan cabaran musim ini di GP Portugal (20-22 Nov) dan GP Valencia (27-29 Nov).

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu, yang memulakan perlumbaan dari petak ketujuh, mempamerkan tunggangan konsisten apabila berjaya mengekalkan kedudukan sama sepanjang 16 pusingan perlumbaan.

Pelumba Liqui Moly Dynavolt IntactGP David Almansa muncul juara pusingan ke-20 itu dengan catatan masa 33 minit 9.479 saat (s).

Pelumba Leopard Racing Adrian Fernandez pula menduduki tempat kedua dengan perbezaan 2.516s manakala Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team melengkapkan podium di tempat ketiga, ketinggalan 2.585s di belakang pemenang.

Keputusan berkenaan menyaksikan pelumba negara berusia 19 tahun itu meraih sembilan mata tambahan untuk mengumpul keseluruhan 125 mata sekali gus menduduki tangga kelapan kedudukan keseluruhan Moto3.

Hakim Danish akan meneruskan cabaran dalam dua perlumbaan terakhir musim ini menerusi GP Portugal yang berlangsung dari 20 hingga 22 Nov ini diikuti GP Valencia dari 27 hingga 29 Nov. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.