Program NSTDP perkukuh barisan pelapis negara

Akademi Sepak Takraw Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 November – Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) terus menjadi platform mencungkil bakat baharu bagi melahirkan pelapis baharu yang mampu mengisi skuad kebangsaan pada masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSN dan PSM bekerjasama bagi memastikan kesinambungan dan kualiti pemain kebangsaan.
  • Kejohanan NSTDP Kebangsaan tahun kedua menunjukkan peningkatan prestasi pemain muda.
  • Rancangan siri perlawanan ujian di Thailand untuk skuad B-19 masih dalam penelitian aspek perbelanjaan dan logistik.
  • 11 pemain (5 lelaki, 6 wanita) dipilih ke Kejohanan Remaja Asia B-19 Filipina; latihan pusat 16 Nov, berlepas 22 Nov.

Usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memastikan kesinambungan pemain berkualiti negara.

Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi penganjuran tahun kedua Kejohanan NSTDP Kebangsaan yang menyaksikan peningkatan prestasi dalam kalangan pemain muda.

“Dari segi prestasi, pemain menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Ini salah satu perancangan MSN dan PSM untuk memperbanyakkan lagi ‘kolam’ pemain kita.

“Apabila berada dalam radar skuad bawah 19 tahun mereka sebenarnya semakin hampir dengan program kebangsaaan. Mereka seterusnya boleh diserap ke program Pelapis Kebangsaan B-21 sebelum dinilai kelayakan untuk melangkah ke Program Podium,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MSN dan PSM turut merancang mengadakan siri perlawanan ujian antarabangsa di Thailand bagi skuad B-19 lelaki dan wanita sebagai persediaan menghadapi saingan lebih tinggi.

Bagaimanapun, perancangan itu masih dalam penelitian kedua-dua badan berkenaan, khususnya membabitkan aspek perbelanjaan dan logistik.

“Program ini amat penting untuk memberi pendedahan berguna supaya pemain terbiasa beraksi pada tahap lebih tinggi. Dari situ, mereka akan melihat kekuatan dan kelemahan untuk diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum misi ke Thailand direalisasikan, skuad remaja negara akan menggalas cabaran pada Kejohanan Remaja Asia Sepak Takraw B-19 di Filipina, hujung bulan ini.

Seramai 11 pemain, terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita, dipilih berdasarkan prestasi pada temasya SUKMA serta kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Skuad lelaki akan bersaing dalam acara regu dan beregu, manakala skuad wanita bakal beraksi dalam acara regu dan kuadran.

Kesemua pemain dijadualkan menjalani kem latihan pusat bermula 16 November sebelum berlepas ke Filipina pada 22 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.