Messi raih anugerah Kasut Emas MLS dua musim berturut-turut

Bintang Argentina, Lionel Messi meraih Anugerah Kasut Emas Liga Bola Sepak Utama (MLS) buat kali kedua berturut-turut/Foto AFP

MIAMI, 8 November – Bintang Argentina, Lionel Messi meraih Anugerah Kasut Emas Liga Bola Sepak Utama (MLS) buat kali kedua selepas menamatkan saingan musim ini dengan 26 gol.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inter Miami seri 3-3 dengan Charlotte, Messi beri dua bantuan jaringan, pasukan tamat di tangga kedua Persidangan Timur dengan 60 mata.
  • Nashville memecah rekod mata musim MLS dengan 77 mata selepas menang 2-0 ke atas Cincinnati.
  • Vancouver juara Persidangan Barat; Seattle dan Real Salt Lake turut layak ke playoff; Inter Miami akan bertemu Columbus.

Kejayaan itu menyaksikan Messi mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama memenangi anugerah MLS dua musim berturut-turut.

Bagaimanapun, Inter Miami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 menentang Charlotte pada aksi terakhir musim biasa di Nu Stadium, sekali gus menamatkan saingan di tangga kedua Persidangan Timur dengan 60 mata.

Messi tidak mencetak gol dalam perlawanan itu, namun menyumbang dua bantuan jaringan menerusi sepakan penjuru yang disempurnakan Ian Fray dan Luis Suarez pada separuh masa pertama.

Rodrigo De Paul turut meledak gol ketiga Miami sebelum Charlotte bangkit menerusi dua jaringan Liel Abada dan gol penyamaan Rodolfo Aloko pada minit ke-90.

Dalam pada itu, Nashville mencipta sejarah apabila memecahkan rekod mata tertinggi dalam satu musim MLS selepas menewaskan Cincinnati 2-0.

Kemenangan itu menyaksikan Nashville mengumpul 77 mata menerusi 23 kemenangan, tiga kekalahan dan lapan keputusan seri, sekali gus memadam rekod 74 mata yang dicatat Inter Miami pada 2024.

Sementara itu, New England menamatkan saingan di tangga ketiga Persidangan Timur dengan 58 mata selepas tewas 0-1 kepada Orlando.

Inter Miami bakal berdepan Columbus pada pusingan pertama playoff MLS, manakala Nashville menanti pemenang perlawanan wild card antara Orlando dan Cincinnati.

Bagi Persidangan Barat, Vancouver muncul juara selepas menewaskan Montreal 2-0, manakala Seattle dan Real Salt Lake turut mengesahkan tempat ke playoff.

Seattle menewaskan Los Angeles FC 2-1, manakala Real Salt Lake mencatat kemenangan 2-1 ke atas LA Galaxy untuk melengkapkan senarai pasukan yang layak ke saingan pascamusim. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.