
LABUAN, 29 November – Seramai 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan dalam empat operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar pulau itu, 27 November lalu.
- Empat operasi melibatkan pemeriksaan di tujuh premis kediaman, perniagaan, restoran dan pusat hiburan.
- Seramai 37 individu diperiksa oleh 12 pegawai, dengan tahanan terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.
- Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63; lima notis saman saksi dikeluarkan dan tahanan ditempatkan untuk tindakan lanjut.
Operasi berkenaan melibatkan Op Sapu, Op Kutip, Op Selera dan Op Gegar dengan pemeriksaan dilakukan di tujuh premis merangkumi kawasan kediaman, premis perniagaan, restoran serta pusat hiburan.
Pengarah Imigresen Labuan, Mohd Redzuan Nawi mendedahkan, seramai 37 individu diperiksa dalam operasi bermula pukul 4.00 petang hingga 11.00 malam, melibatkan 12 pegawai pelbagai pangkat.
“Mereka yang ditahan terdiri empat lelaki, sembilan wanita serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga perempuan warga Filipina, selain tujuh lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia.
“Penahanan melibatkan siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Lima notis saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu proses siasatan,” katanya menerusi kenyataan.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Labuan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk siasatan serta tindakan lanjut.