An Se-Young juara Terbuka Korea, rangkul gelaran ke-11

Pemain badminton wanita nombor satu dunia, An Se-Young beraksi pada final perseorangan wanita Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Yeosu/Foto AFP

SEOUL, 8 November – Pemain badminton wanita nombor satu dunia, An Se-Young terus mengukuhkan dominasinya apabila merangkul gelaran ke-11 musim ini selepas menjuarai acara perseorangan wanita Terbuka Korea di Yeosu, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menewaskan Akane Yamaguchi dalam final tiga set, 21-12, 15-21, 21-16.
  • Melanjutkan rekod tanpa kalah sejak Mac dan mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut ke atas Yamaguchi.
  • Sebelum ini meraih gelaran dunia kedua di New Delhi dan sejarah sebagai wanita pertama menang dua emas perseorangan Sukan Asia di Nagoya.

Pemain berusia 24 tahun itu menewaskan wakil Jepun, Akane Yamaguchi menerusi pertarungan tiga set, 21-12, 15-21, 21-16 pada aksi final.

Kemenangan itu menyaksikan AN melanjutkan rekod tanpa kalah sejak Mac lalu, selain mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut ke atas Yamaguchi.

AN menyifatkan kejayaan di laman sendiri itu cukup bermakna dan mengakui berbangga dengan pencapaian yang dilakar musim ini.

Beliau turut mengakui Yamaguchi memberikan tentangan sengit, sekali gus memaksanya mengekalkan intensiti permainan sehingga mata terakhir.

Sebelum ini, An turut merangkul gelaran juara dunia buat kali kedua di New Delhi pada Ogos, selain mencipta sejarah sebagai wanita pertama memenangi dua gelaran perseorangan Sukan Asia di Nagoya, September lalu.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain Kanada, Victor Lai muncul juara selepas menewaskan Jason Gunawan dari Hong Kong, 21-11, 21-14.

Gandingan China, Jiang Zhenbang dan Wei Yaxin menjuarai beregu campuran, manakala pasangan Jepun, Rui Hirokami dan Sayaka Hobara mengungguli beregu wanita.

Acara beregu lelaki pula menjadi milik pasangan Korea Selatan, Kim Won-Ho dan Seo Seung-Jae selepas menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi dalam aksi tiga set. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.