Tenis Terbuka Indian Wells: Rybakina tarik diri

Foto AFP

LOS ANGELES, 8 November – Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Elena Rybakina menarik diri daripada kejohanan akhir WTA di Indian Wells, akibat jangkitan virus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rybakina mengesahkan beliau belum cukup sihat untuk bersaing dan menarik diri daripada kejohanan penutup musim.
  • Beliau akan berehat dan menjalani pemulihan sebelum mempersiapkan diri menghadapi musim 2027.
  • Tempatnya dalam Kumpulan Satu digantikan pemain Ukraine, Marta Kostyuk.
  • Rybakina mencatat tiga gelaran utama termasuk Terbuka Amerika dan Australia serta kejayaan di Wimbledon 2022.

Juara bertahan itu mengesahkan keputusannya menerusi satu kenyataan, dengan menyatakan keadaan fizikalnya belum bersedia untuk bersaing dalam kejohanan penutup musim yang bermula Ahad.

“Saya amat sedih untuk memaklumkan kepada semua peminat dan penyokong bahawa saya terpaksa menarik diri daripada kejohanan tahun ini.

“Saya melalui musim yang luar biasa, namun keadaan fizikal saya masih belum mengizinkan untuk beraksi,” katanya.

Rybakina berkata beliau akan mengambil masa untuk berehat dan menjalani pemulihan sebelum membuat persiapan menghadapi musim 2027.

Tempat pemain kelahiran Kazakhstan itu dalam Kumpulan Satu akan digantikan pemain Ukraine, Marta Kostyuk.

Rybakina mencatat pencapaian terbaik dalam kariernya tahun ini apabila muncul pemain nombor satu dunia buat kali pertama pada September selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS), menewaskan Aryna Sabalenka pada perlawanan akhir.

Beliau turut menjuarai Terbuka Australia pada Januari, sekali gus melengkapkan koleksi tiga gelaran Grand Slam selepas kejayaan di Wimbledon pada 2022.

Bagaimanapun, Rybakina sebelum ini turut menarik diri daripada kejohanan Terbuka Pan Pacific di Tokyo bulan lalu akibat kecederaan leher.

Pada edisi 2025, beliau muncul juara akhir WTA tanpa mengalami sebarang kekalahan meskipun layak ke kejohanan itu sebagai pemain terakhir.

Kejohanan tahun ini yang pada asalnya dijadual berlangsung di Arab Saudi dipindahkan ke Indian Wells, California pada Julai lalu susulan perkembangan konflik di Asia Barat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.