
BALIK PULAU, 29 November – Program Yakin Madani di Kompleks Sukan Balik Pulau menjadi platform pendedahan kepada golongan muda untuk meneroka peluang pendidikan dan kerjaya selepas menamatkan pengajian.
- MYFutureJobs membantu graduan meneroka peluang pekerjaan di luar Balik Pulau.
- Program memberi pelajar gambaran lebih jelas tentang hala tuju dan pilihan kerjaya masa depan.
- Pameran membolehkan golongan muda bertanya secara langsung tentang peluang, proses dan laluan menyertai pasukan keselamatan.
Program itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, malah membolehkan pengunjung berinteraksi secara langsung dengan agensi terlibat bagi mendapatkan maklumat mengenai bidang yang diminati.
Seorang graduan, Siti Hajar Othman berkata, program berkenaan membantunya meneroka peluang pekerjaan di luar kawasan Balik Pulau, khususnya menerusi platform MYFutureJobs.
“Sebagai graduan yang baru menamatkan pengajian, saya mendapati peluang pekerjaan di Balik Pulau agak terhad.
Menerusi program MYFutureJobs ini, kami dapat meneroka peluang pekerjaan di kawasan yang lebih luas kerana terdapat banyak pilihan yang boleh dipertimbangkan,” katanya.
Sementara itu, pelajar, Naufal Imdad Mohd Shukur berkata, program berkenaan memberinya gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dan kerjaya yang boleh diceburi pada masa hadapan.
“Kami dapat mengetahui lebih lanjut mengenai masa depan dan hala tuju selepas ini.
Pelbagai maklumat diperoleh di sini, termasuk pilihan pekerjaan yang boleh diceburi serta kerjaya yang ingin kami pilih pada masa hadapan,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Jasmin Diyana Tan Mikhail Tan Kee Seng berkata, pameran yang disediakan membolehkan golongan muda mendapatkan maklumat lanjut mengenai bidang kerjaya, termasuk peluang menyertai pasukan keselamatan.
“Apabila datang ke sini, mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai pelbagai bidang.
Contohnya, jika berminat menyertai tentera selepas SPM, mereka boleh bertanya secara langsung mengenai peluang, proses dan laluan untuk memasuki bidang berkenaan,” katanya.
Program Yakin Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Kompleks Sukan Balik Pulau.
Pelbagai aktiviti disediakan termasuk sukan rakyat, pertukaran topi keledar dan minyak hitam, pemeriksaan kesihatan serta pameran aset ketenteraan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan program berkenaan.