Kesedaran siber meningkat, namun kesiapsiagaan masyarakat masih perlu dipertingkat

Gambar Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 8 November – Kesedaran masyarakat terhadap ancaman keselamatan siber dilihat semakin meningkat, bagaimanapun tahap kesiapsiagaan untuk berdepan ancaman berkenaan masih perlu dipertingkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekurangan peka terhadap risiko keselamatan semasa menggunakan teknologi digital menyebabkan pengguna terdedah.
  • Kanak-kanak kurang faham bahaya siber; pendidikan berterusan di sekolah dan rumah diperlukan.
  • Jangan berkongsi kata laluan, TAC atau OTP untuk elakkan akaun perbankan dan e-dompet diceroboh.
  • Elakkan menekan pautan daripada nombor atau sumber tidak dikenali; sentiasa sahkan sebelum berinteraksi.

Tinjauan RTM mendapati meskipun kebanyakan responden mengetahui bentuk ancaman seperti penipuan dalam talian dan penggodaman, masih terdapat pengguna yang kurang peka terhadap risiko keselamatan ketika menggunakan teknologi digital.

Seorang guru, Muhammad Syaufi Roslan mengakui kanak-kanak antara golongan yang masih kurang memahami risiko keselamatan siber, terutama ketika melayari laman web atau menggunakan aplikasi tanpa mengetahui tahap keselamatannya.

“Di sekolah pun, saya ada berkongsi perkara ini dengan anak murid. Namun, apabila ditanya sama ada mereka bersedia dan menyedari ancaman ini, kebanyakannya menjawab tidak. Justeru, mereka perlu terus dididik dan diberitahu mengenai bahaya risiko ancaman siber,” katanya.

(Atas, kiri) Saiful Bahari Rusli, ⁠Nurizlyn Aznida Baharin dan Muhammad Azhari Hamdan. (Bawah, kiri) Muhammad Syaufi Roslan dan Arif Muaz Mohd Faizal/Foto RTM

Sementara itu pelajar, Arif Muaz Mohd Faizal menekankan kepentingan menjaga kerahsiaan maklumat peribadi, khususnya kata laluan serta nombor pengesahan transaksi bagi mengelak akaun perbankan diceroboh.

“Jangan berkongsi kata laluan kerana sekiranya diketahui orang lain, mereka boleh mengambil wang daripada e-dompet.

“Selain itu, jangan berikan kata laluan, nombor TAC atau OTP kepada orang lain,” katanya.

Bagi mahasiswa, Nurizlyn Aznida Baharin pula, peningkatan penggunaan teknologi digital menuntut masyarakat supaya lebih prihatin terhadap keselamatan ketika melayari internet, terutama golongan kanak-kanak dan warga emas.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai pautan yang diterima daripada nombor telefon atau sumber yang tidak dikenali.

“Kita perlu sentiasa berjaga-jaga. Jika tidak mengetahui sumber sesuatu pautan, jangan tekan.

“Begitu juga dengan pautan yang diterima daripada nombor telefon tidak dikenali, walaupun dalam keadaan terdesak, jangan tekan pautan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Muhammad Azhari Hamdan berpandangan ancaman keselamatan siber bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah berpotensi menjejaskan keselamatan negara sekiranya tidak ditangani dengan langkah sewajarnya.

“Kita perlulah lebih berhati-hati dalam menangani isu ini kerana ancaman siber bukan sahaja melibatkan serangan terhadap individu, malah turut melibatkan serangan secara meluas yang merangkumi keselamatan negara.

“Oleh itu, masyarakat perlulah lebih peka dan menjaga keselamatan siber demi masa depan negara yang lebih terjamin.

“Sehubungan itu, kesiapsiagaan menghadapi ancaman siber memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat dalam memperkukuh kesedaran serta mengamalkan langkah keselamatan digital bagi melindungi maklumat peribadi dan keselamatan ruang siber negara,” tegasnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.