Keselamatan siber negara terkawal, tahap ancaman kekal sederhana

Foto AFP

PUTRAJAYA, 7 November – Situasi keselamatan siber negara kekal terkawal dengan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) berada pada paras sederhana, meskipun terdapat insiden keselamatan siber dan gangguan sistem melibatkan beberapa institusi kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara memantau keselamatan siber secara berterusan; NACSA bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan.
  • Bank Negara Malaysia sebagai Ketua Sektor Perbankan melaksanakan langkah kesiapsiagaan menyeluruh dan pemantauan entiti NCII.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai atau menyebarkan dakwaan serangan siber belum disahkan; rujuk saluran rasmi kerajaan dan institusi kewangan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan, Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) sedang memantau perkembangan keselamatan siber semasa secara berterusan.

Menurut kenyataan MKN, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) turut bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memantau insiden yang melibatkan sektor kewangan.

“Bank Negara Malaysia (BNM) selaku Ketua Sektor Perbankan dan Kewangan sedang melaksanakan langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh dan bersepadu termasuklah pemantauan berterusan perkembangan tahap keselamatan siber entiti infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) di bawahnya,” menurut kenyataan itu.

NACSA turut bekerjasama dengan ketua sektor dan entiti NCII bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikesan serta ditangani segera supaya perkhidmatan penting negara terus beroperasi dengan lancar.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dakwaan mengenai serangan siber yang belum disahkan, termasuk hantaran tular di media sosial.

Sebarang maklumat berkaitan insiden itu perlu dirujuk melalui saluran rasmi kerajaan, BNM dan institusi kewangan masing-masing.

MKN dan NACSA akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.