MTL: Aset kawalan banjir dalam keadaan baik, siap siaga

Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 November – Sebanyak 1,079 pintu kawalan air dan 285 rumah pam di seluruh negara berada dalam keadaan baik serta siap siaga menghadapi risiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula pada 27 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 3,045 lokasi berisiko banjir dikenal pasti, tertumpu di Kelantan, Pahang dan Terengganu.
  • JPS memantau 24 jam melibatkan 36 lembangan sungai dan 2,237 stesen hidrologi telemetri.
  • Sokongan operasi termasuk 580 pam kecemasan mudah alih digerakkan ke lokasi kritikal bila perlu.
  • Langkah mitigasi merangkumi 1,638 kerja kecil (RM652 juta) dan 342 projek RP1 RMK13 bernilai RM3.2 bilion.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, 3,045 lokasi berisiko banjir dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.

Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 609 lokasi, diikuti Pahang sebanyak 572 lokasi dan Terengganu, 460 lokasi.

“Langkah persediaan turut disokong 580 pam kecemasan mudah alih pelbagai kapasiti yang boleh digerakkan ke lokasi kritikal.

“Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperkukuh operasi ramalan dan amaran banjir melalui pemantauan 24 jam sehari melibatkan 36 lembangan sungai serta 2,237 stesen hidrologi telemetri,” menurut kenyataan kementerian itu.

Jelas PETRA lagi, perancangan awal, penyelarasan sumber dan kesiapsiagaan operasi menjadi keutamaan bagi memastikan pengurusan risiko banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

Bagi menyokong pemantauan tersebut, sebanyak 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan dipasang di lokasi strategik seluruh negara.

Selain kesiapsiagaan aset, pemantauan turut dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS dan 781 kolam takungan banjir, termasuk penyelarasan prosedur pelepasan air empangan bersama pihak berkuasa negeri.

Bagi mengurangkan risiko banjir, sebanyak 1,638 kerja kecil dilaksanakan pada 2026 dengan kos RM652 juta.

Sebanyak 342 projek pembangunan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut diluluskan untuk pelaksanaan tahun ini, membabitkan peruntukan RM3.2 bilion.

MTL 2026/2027 dijangka berakhir pada Mac tahun depan.

Sebagai rekod, sebanyak 799 kejadian banjir dilaporkan sepanjang MTL 2025/2026, dengan 103 buletin ramalan dan amaran dikeluarkan serta 14.8 juta SMS dihantar kepada penduduk di kawasan berisiko.

Orang ramai disaran mengikuti ramalan dan amaran banjir rasmi melalui laman web Public InfoBanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.