F1: Sao Paulo kekal tuan rumah hingga 2035

Litar Interlagos di Sao Paulo, Brazil/Facebook F1

SAO PAULO, 7 NOVEMBER – Litar Interlagos di Sao Paulo, Brazil akan terus menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) sehingga 2035 selepas perjanjian lanjutan kontrak selama lima tahun dimeterai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Interlagos sudah sebahagian daripada kalendar F1 lebih 50 tahun, sering menyajikan perlumbaan penuh dramatik.
  • Kejayaan paling diingati: Max Verstappen bangkit dari petak ke-17 untuk menang Grand Prix Sao Paulo 2024.
  • Litar berbukit dengan selekoh mencabar, enam kejuaraan dunia pemandu pernah ditentukan di situ termasuk Alonso dan Hamilton.
  • Populariti F1 di Brazil meningkat; 75.8 juta peminat, kehadiran 2025 303,627, dan impak ekonomi 2.3 bilion real.

Menurut kenyataan di laman rasmi Formula 1, lanjutan itu sekali gus menjamin kedudukan litar ikonik berkenaan dalam kalendar sukan permotoran dunia.

Litar Autodromo Jose Carlos Pace, atau lebih dikenali sebagai Interlagos, sudah menjadi sebahagian daripada kalendar F1 selama lebih 50 tahun dan sering menyajikan perlumbaan penuh dramatik.

Antara detik paling diingati ialah kejayaan Max Verstappen pada 2024 apabila bangkit dari petak ke-17 untuk memenangi Grand Prix Sao Paulo.

Litar yang mempunyai susun atur berbukit dan selekoh mencabar itu turut menyaksikan enam kejuaraan dunia pemandu ditentukan, termasuk gelaran yang dimenangi Fernando Alonso dan Lewis Hamilton.

Keunikan reka bentuk dan susun atur Litar Interlagos menjadikannya antara litar kegemaran dalam kalangan pelumba serta peminat sukan permotoran di seluruh dunia/Formula One

Populariti F1 di Brazil juga terus meningkat dengan jumlah peminat mencecah 75.8 juta orang, dengan 44 peratus daripadanya wanita manakala 41 peratus berusia bawah 35 tahun.

Kehadiran penonton pada Grand Prix Sao Paulo 2025 turut meningkat kepada 303,627 orang berbanding 291,717 pada tahun sebelumnya.

Dari sudut ekonomi, penganjuran perlumbaan 2025 menyumbang sebanyak 2.3 bilion real Brazil kepada bandar Sao Paulo, meningkat 9.7 peratus berbanding rekod sebelumnya pada 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali berkata, Brazil kekal sebagai destinasi penting dalam sejarah dan masa depan sukan itu.

Beliau menyifatkan sokongan luar biasa peminat Brazil sebagai antara faktor yang menjadikan Interlagos lokasi istimewa dalam kalendar perlumbaan F1.

Brazil melahirkan 33 pelumba F1, termasuk legenda sukan permotoran negara itu, Ayrton Senna/Formula One

Sementara itu, Datuk Bandar Sao Paulo, Ricardo Nunes berkata, lanjutan kontrak itu memastikan kesinambungan salah satu acara sukan terbesar dunia yang turut merancakkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan sektor pelancongan.

Beliau berkata, pihak pentadbiran bandar akan meneruskan pelaburan bagi memastikan penganjuran acara itu memenuhi standard antarabangsa serta meningkatkan pengalaman penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif Grand Prix Sao Paulo, Alan Adler pula menyifatkan lanjutan kontrak itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha pelaburan dan komitmen jangka panjang dalam memperkukuh kedudukan Interlagos sebagai destinasi utama sukan permotoran dunia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.