Kalau AI boleh buat, kenapa kita masih perlu belajar?

Gambar hasil janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • AI memperbanyak contoh latihan, tetapi pelajar perlu cuba sendiri dahulu supaya dapat membina kebolehan membuat keputusan dan membandingkan tafsiran.
  • Pensyarah perlu reka tugasan baru; tentukan langkah pelajar yang wajib dan ruang di mana AI boleh membantu latihan lebih luas.
  • Bandingkan tafsiran sendiri dengan jawapan AI; guna perbezaan itu untuk belajar, tanya soalan lebih tepat dan perbaiki pemikiran kritis.

Kali pertama memasak kari, kita mungkin ikut resipi sampai ke sukatan air. Kali kedua, kita guna periuk yang lebih lebar. Sukatannya sama, tetapi kuah lebih cepat pekat. Kita mula tertanya-tanya. Perlu tambah air sekarang atau kecilkan api dahulu?

Orang yang biasa memasak mungkin boleh membuat keputusan itu sambil memotong bawang untuk hidangan lain. Dia pernah melihat kuah yang hampir kering dan tahu apa yang perlu diperhatikan.

Bagi orang yang baru belajar, beberapa minit di depan dapur itulah yang mengajarnya mengapa satu resipi boleh memberikan hasil berbeza di dua buah rumah.

Sekarang bayangkan kita meminta kecerdasan buatan (AI) memberikan lima cara memasak kari yang sama. Kelima-limanya mungkin berguna.

Selepas pernah mencuba sendiri, kita boleh membacanya dengan soalan yang lebih khusus. Mengapa versi ini menggunakan lebih banyak air? Mengapa versi satu lagi menyuruh kita menutup periuk?

Perkara yang sama boleh berlaku di universiti. AI boleh memberikan langkah penyelesaian sebelum mahasiswa sempat mencuba. Itu membuka peluang untuk melihat lebih banyak contoh dalam masa yang singkat.

Pada masa yang sama, pensyarah perlu memutuskan bahagian mana dalam tugasan yang masih perlu dibuat oleh pelajar sendiri supaya dia tahu apa yang patut diperhatikan apabila melihat jawapan AI.

Pada 4 September 2026, RTM melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi menetapkan integrasi AI dalam kurikulum universiti. Menteri Pendidikan Tinggi turut mengingatkan agar penggunaannya tidak menjejaskan keupayaan pelajar berfikir secara kritis, menulis dan mengarang.

Bagi pensyarah, satu cara untuk menterjemahkan hasrat itu ialah melihat semula tugasan yang sudah ada. Pada langkah manakah pelajar sedang membina kemahiran, dan pada langkah manakah AI boleh membantu mereka berlatih dengan lebih luas?

Apa yang kita belajar daripada percubaan pertama?

Bayangkan seorang mahasiswa diminta mentafsir graf. Dia membuka AI dan mendapat penerangan yang tersusun. Dia boleh mengikuti setiap ayat dalam penerangan itu. Namun, jika graf lain diberikan pada keesokan hari, mampukah dia menentukan sendiri bahagian yang perlu dilihat dahulu?

Ada beza antara mengikuti penerangan ketika jawapannya sudah tersedia dengan memilih sendiri cara untuk menjawab. Dalam percubaan awal, pelajar perlu membuat keputusan kecil yang biasanya hilang daripada pandangan apabila dia terus melihat jawapan siap.

Paksi mana yang perlu dibaca dahulu? Apakah yang sebenarnya diukur? Adakah perubahan itu berlaku sepanjang tempoh pemerhatian atau hanya pada beberapa minit terakhir?

Apabila pelajar mencatat tafsirannya sendiri sebelum menggunakan AI, dia ada sesuatu untuk dibandingkan dengan jawapan yang dijana. Jika kedua-dua tafsiran berbeza, dia boleh kembali kepada graf dan melihat apa yang mungkin terlepas pandang.

Mungkin dia betul tentang arah perubahan tetapi tidak menyedari ada bahagian yang mendatar. Mungkin juga dia membaca graf dengan betul tetapi membuat kesimpulan yang melampaui data. Apabila pensyarah memberikan maklum balas, pelajar boleh mengaitkannya dengan cara dia membaca graf dan membuat kesimpulan tadi.

Satu percubaan awal pun boleh memberikan sesuatu yang berguna. Pelajar kini tahu bahagian mana yang belum difahaminya. Apabila dia meminta bantuan AI, soalannya boleh menjadi lebih tepat. Daripada meminta AI menerangkan keseluruhan graf, dia boleh bertanya mengapa bahagian yang mendatar itu penting kepada kesimpulannya.

Bila AI boleh memperluas latihan

Dalam kelas fisiologi, misalnya, pensyarah boleh memberikan graf rekaan yang menunjukkan perubahan kadar denyutan jantung sebelum, semasa dan selepas aktiviti fizikal. Minta pelajar menulis dua ayat. Ayat pertama menerangkan perubahan yang dilihat. Ayat kedua menunjukkan bahagian graf yang menyokong penerangan itu.

Selepas pelajar mencuba, pensyarah boleh menggunakan AI untuk menyediakan beberapa graf latihan dan menyemaknya sebelum digunakan. Dalam satu graf, kadar denyutan jantung turun sebaik sahaja aktiviti berakhir. Dalam graf lain, ia turut turun, tetapi masih belum kembali ke paras sebelum aktiviti apabila tempoh pemerhatian tamat.

Kedua-dua graf menunjukkan penurunan selepas aktiviti. Namun, hanya satu menyokong pernyataan bahawa kadar denyutan jantung telah kembali ke paras asal dalam tempoh yang ditunjukkan.

Pelajar boleh mencari saat apabila penerangan yang sesuai untuk graf pertama tidak lagi tepat untuk graf kedua. Dia juga boleh cuba menulis semula kesimpulannya apabila tempoh pemerhatian dipendekkan.

Di sinilah banyaknya contoh menjadi berguna. Pelajar boleh melihat apa yang kekal dan apa yang berubah apabila satu keadaan diubah. AI membantu menyediakan variasi. Pensyarah menentukan variasi mana yang sesuai, dan pelajar melakukan kerja membandingkan serta menjelaskan sebab tafsirannya berubah.

Cara yang sama boleh digunakan ketika belajar sendiri. Selepas menyelesaikan satu soalan, pelajar boleh meminta AI menyediakan dua lagi. Soalan pertama boleh diselesaikan dengan kaedah yang sama. Soalan kedua nampak serupa tetapi mengandungi satu perbezaan yang memerlukan pendekatan lain. Cuba kenal pasti perbezaan itu sebelum membuka penerangan.

Jika alasan AI masih meragukan, semak dengan nota atau bahan rujukan.

Apa yang boleh diubah dalam tugasan?

Pensyarah boleh bermula dengan satu soalan ketika menyediakan tugasan. Apakah keputusan yang saya mahu pelajar belajar buat? Jika tujuannya ialah mentafsir graf, minta pelajar tunjuk bahagian graf yang menyokong tafsirannya.

Jika tujuannya ialah memilih kaedah, beri dua kes dan minta dia terangkan mengapa kaedah yang sesuai untuk satu kes mungkin perlu diubah untuk kes yang lain.

Selepas percubaan awal, ruang untuk menggunakan AI boleh dibuka dengan lebih jelas. Pelajar boleh memintanya menyediakan contoh tambahan, memberi maklum balas atau mencabar alasan yang telah ditulis.

Pada akhir tugasan, dua atau tiga ayat daripada pelajar sudah boleh memberi pensyarah bahan untuk bertanya lanjut. Apakah yang dia fikir pada mulanya? Apakah maklumat yang membuatkannya mengubah fikiran?

Seorang pelajar, misalnya, mungkin menulis bahawa kadar denyutan jantung sudah kembali ke paras asal kerana garis graf sedang menurun. Selepas membandingkan kedua-dua graf, dia sedar bahawa arah perubahan dan paras yang dicapai ialah dua perkara berbeza.

Pensyarah kini boleh melihat dengan tepat apa yang telah dipelajari. Pelajar itu juga membawa pulang sesuatu yang boleh digunakan apabila berhadapan dengan graf lain.

Di luar dewan kuliah

Kita boleh menggunakan cara ini ketika merancang perjalanan keluarga. Sebelum meminta AI menyediakan jadual, tentukan dahulu perkara yang penting bagi keluarga sendiri.

Mungkin seorang anak mudah mabuk kereta, atau ada ahli keluarga yang memerlukan lebih banyak masa untuk berehat. Jika semua orang perlu sampai ke rumah sebelum Maghrib, anggaran masa perjalanan menjadi lebih penting daripada jumlah tempat yang boleh dilawati.

Dengan syarat itu, minta dua pelan. Bandingkan pelan yang meliputi lebih banyak tempat dengan pelan yang memberi lebih banyak ruang untuk berehat. Kemudian ubah satu keadaan.

Jika hujan dan aktiviti di luar perlu dibatalkan, adakah pelan pilihan masih sesuai? Kita mungkin sedar bahawa tempat yang paling menarik dalam jadual itu juga yang paling sukar diganti apabila cuaca berubah.

Apabila pelajar belajar menggunakan AI dengan cara ini, dia mendapat peluang mencuba lebih banyak keadaan daripada yang sempat dibincangkan dalam satu kuliah.

Pensyarah pula boleh memilih satu bahagian kecil untuk dilakukan sendiri terlebih dahulu, supaya pelajar masuk ke dalam perbincangan dengan soalan dan alasan yang sudah mula terbentuk.
Kembali ke dapur tadi.

Untuk kari yang seterusnya, saya mungkin akan tanya AI apa yang berubah apabila menggunakan periuk lebih lebar. Tetapi sebelum menghidang, saya tetap akan rasa kuah sendiri.

Kalau terlebih masin, orang di meja makan tentu tak puas hati kalau saya jawab, “AI yang suruh.”

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.