
GAZA, 8 November- Kira-kira 70,000 khemah yang menempatkan puluhan ribu penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal di Gaza ditenggelami banjir susulan hujan lebat pada Sabtu.
- Hujan lebat menyebabkan banjir dalam khemah, runtuhan dinding dan bumbung, beberapa penduduk cedera termasuk kritikal.
- Ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal meninggalkan kem, manakala pasukan pertahanan awam terima lebih 1,500 panggilan kecemasan malam itu.
- Pertahanan Awam berkata mereka tidak mempunyai kelengkapan mencukupi dan membuat rayuan kecemasan kepada masyarakat antarabangsa serta organisasi kemanusiaan.
- Pihak berkuasa Palestin dan NGO amaran risiko penyakit, gesa tekanan ke atas Israel untuk benarkan bantuan serta minta 200,000 rumah pasang siap segera.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, hujan pada hari pertama itu turut menyebabkan puluhan dinding dan bumbung bangunan yang retak runtuh, mengakibatkan beberapa penduduk cedera termasuk dalam keadaan kritikal.
Sejak awal Sabtu, ratusan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dilihat meninggalkan kem penempatan di beberapa kawasan di Gaza City serta bahagian tengah dan utara wilayah itu selepas khemah mereka ditenggelami air hujan.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal, berkata pasukannya menerima lebih 1,500 panggilan kecemasan sepanjang malam daripada penduduk yang memerlukan bantuan selepas khemah mereka dinaiki air.
Beliau berkata agensi itu beroperasi tanpa kelengkapan atau keupayaan mencukupi untuk menangani keadaan berkenaan.
“Kami telah mengeluarkan rayuan kecemasan kepada masyarakat antarabangsa dan organisasi kemanusiaan supaya segera campur tangan bagi menyelamatkan ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal daripada bencana banjir khemah ini.
“Kami tidak mampu menangani kesan ribut ini bersendirian,” katanya kepada AFP.
Seorang penduduk, Um Muhammad al-Hersh, 45, yang tinggal bersama keluarganya di sebuah khemah di barat Gaza berkata mereka tidak sempat menyelamatkan tilam manakala semua pakaian basah kuyup.
“Penderitaan kami berulang setiap musim sejuk,” katanya.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Ramallah menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Gabungan pertubuhan masyarakat sivil Palestin turut memberi amaran mengenai risiko penularan penyakit dan wabak susulan banjir berkenaan, selain menggesa tekanan terhadap Israel supaya membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.
Menurut seorang anggota majlis perbandaran Gaza, Mustafa Qazzaat, wilayah itu memerlukan segera 200,000 rumah pasang siap bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, selain jentera berat untuk membersihkan runtuhan bangunan, membuka jalan utama serta menyediakan bekalan elektrik dan pemanasan.
Beliau berkata Israel tidak membenarkan kemasukan rumah pasang siap sejak gencatan senjata diumumkan pada 10 Oktober 2025, sebaliknya hanya membenarkan kemasukan khemah dalam jumlah terhad.
Gencatan senjata itu dicapai selepas dua tahun perang yang tercetus sejak pada 7 Oktober 2023.- AFP