
KUALA LUMPUR, 8 November – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memperluas komitmen terhadap integriti dan tadbir urus ke seluruh ekosistem pelaburannya, termasuk syarikat subsidiari, kontraktor serta pihak ketiga menerusi pelaksanaan Strategi Etika, Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (SETIA) 2026–2030.
- Pembudayaan integriti sebagai tanggungjawab setiap individu, bukan semata-mata pengawasan pengurusan.
- Pengarah-pengarah nomini di subsidiari wajib memastikan pematuhan dasar pengawasan pelaburan melalui pengesahan dan pemeriksaan berkala.
- Kawalan diperkuat untuk kontraktor dan pembekal melalui sistem pengurusan vendor serta penambahbaikan dasar perolehan untuk elak ketirisan.
- Strategi lima teras dan 25 inisiatif menyasarkan pematuhan integriti penuh, meneruskan kejayaan pelan antirasuah terdahulu.
Pendekatan itu bukan sekadar memperketat pemantauan, sebaliknya memberi penekanan kepada pembudayaan integriti sebagai tanggungjawab setiap individu, termasuk warga kerja dan pihak yang mempunyai urusan dengan LTAT.
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, anjakan utama menerusi SETIA adalah memastikan integriti menjadi sebahagian daripada budaya kerja organisasi dan tidak hanya bergantung pada penyeliaan pihak pengurusan.
Menurut beliau, pendekatan itu memerlukan komitmen daripada peringkat atasan serta penglibatan setiap individu bagi membentuk asas integriti yang kukuh dalam organisasi.
“Anjakan paling penting ialah ke arah membudayakan integriti dalam organisasi. Ia bukan lagi sesuatu yang memerlukan penyeliaan, sebaliknya kita mahu setiap warga LTAT memahami tanggungjawab masing-masing.
“Kita mahu pendekatan yang menggabungkan usaha dari atas dan juga dari bawah bagi membentuk asas integriti yang kukuh,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran SETIA 2026–2030, di sini.
Beliau berkata, pembaharuan itu turut melibatkan peluasan Dasar Pengawasan Pelaburan atau Investment Stewardship Policy yang akan dikuatkuasakan terhadap semua syarikat subsidiari LTAT.
Jelasnya, pengarah-pengarah nomini LTAT dalam lembaga pengarah syarikat berkenaan akan memainkan peranan memastikan pelaksanaan dasar itu, selain pengesahan dan pemeriksaan berkala oleh LTAT.
Langkah itu bertujuan memastikan komitmen terhadap integriti tidak terhad kepada organisasi induk, sebaliknya turut diterapkan dalam keseluruhan ekosistem pelaburan.
Selain itu, LTAT turut memperkukuh kawalan terhadap kontraktor dan pembekal perkhidmatan menerusi sistem pengurusan vendor bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan integriti.
Datuk Mohammad Ashraf berkata, aspek perolehan turut diberi perhatian menerusi penambahbaikan dasar dan prosedur, termasuk pelaksanaan kawalan.
“Bagi pihak kontraktor, sama ada yang berurusan dengan LTAT atau memberikan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat strategik, kita akan mempunyai sistem pengurusan vendor bagi memastikan pematuhan dan komitmen terhadap integriti.
“Paling penting, kita memperkukuh dasar dan prosedur perolehan dengan meletakkan kawalan bagi memastikan tiada ruang untuk berlakunya ketirisan integriti,” katanya.
Pelaksanaan SETIA bagi tempoh lima tahun itu merangkumi lima teras strategik dan 25 inisiatif yang dirangka bagi memperkukuh pengurusan risiko rasuah, meningkatkan ketelusan serta memperkasakan akauntabiliti.
Strategi itu merupakan kesinambungan kejayaan LTAT menyempurnakan kesemua 30 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022–2026 dengan pencapaian 100 peratus.
Dalam pada itu, LTAT turut memberi penekanan kepada Garis Panduan Pengawasan Pelaburan dan Keterlihatan Perolehan sebagai antara inisiatif utama bagi memperkukuh ketelusan dalam keputusan pelaburan serta proses perolehan.
Menerusi SETIA, LTAT menyasarkan pematuhan 100 peratus terhadap keperluan integriti menjelang 2030, selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus dan melindungi kepentingan pencarum.
Sebagai institusi yang diamanahkan menguruskan simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LTAT bertanggungjawab memastikan setiap keputusan pelaburan, perbelanjaan dan pengurusan dana dilaksanakan berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti serta profesionalisme.
Usaha itu turut mencerminkan komitmen LTAT untuk memastikan kelestarian dana pencarum dan memperkukuh keyakinan terhadap institusi berkenaan dalam jangka panjang.