Guinea tahan lebih 1,200 individu dalam operasi banteras lombong emas haram

Aktiviti mendulang emas secara haram semakin berleluasa dengan kemasukan warga negara jiran Guinea, menyebabkan kerajaan menguatkuasakaan larangan sejak 2 November lalu./ Foto fail AFP

CONAKRY, 8 November – Lebih 1,200 individu ditahan di wilayah utama pengeluaran emas Guinea dalam operasi membanteras kegiatan perlombongan emas secara haram, menurut kenyataan kerajaan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Larangan perlombongan tanpa kawal selia berkuat kuasa sejak 2 November, disasarkan ke wilayah Siguiri.
  • Tahanan termasuk warga Guinea, Burkina Faso, Mali, Togo, Niger, Ivory Coast dan Ghana.
  • Operasi mencetuskan pengusiran besar; Mali terima kira-kira 160,000 orang dan memberi amaran kemungkinan kecemasan kemanusiaan.

Penahanan itu dilakukan susulan penguatkuasaan larangan terhadap aktiviti perlombongan tanpa kawal selia dan secara rahsia di wilayah Siguiri, timur laut Guinea, yang berkuat kuasa pada 2 November lalu.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Keselamatan yang dikeluarkan pada Sabtu, seramai 1,263 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mendulang emas secara haram.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Guinea, Burkina Faso, Mali, Togo, Niger, Ivory Coast dan Ghana.

Operasi penguatkuasaan itu turut mencetuskan kemasukan luar biasa penduduk dari kawasan sempadan Guinea ke negara jiran.

Mali pada Sabtu memaklumkan bahawa negara itu telah menerima kira-kira 160,000 individu yang diusir dari Guinea sejak operasi berkenaan bermula, selain memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya “kecemasan kemanusiaan”.

Guinea kaya dengan sumber mineral, khususnya emas dan bauksit.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kini berusaha membendung kesan buruk terhadap alam sekitar akibat aktiviti perlombongan emas berskala kecil, termasuk kemusnahan tanah dan pencemaran sumber air.

Operasi itu dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan mengawal kegiatan perlombongan tidak terkawal yang memberi tekanan kepada alam sekitar serta mencetuskan pergerakan penduduk merentasi sempadan negara. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.