
KUALA LUMPUR, 9 November – Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw sedang memantau rapi situasi di Kraków, Poland, susulan insiden tembakan di Dataran Pasar Utama bandar raya itu pada Sabtu.
- Kedutaan sentiasa berhubung dengan komuniti rakyat Malaysia di Poland untuk memastikan keselamatan mereka.
- Menggalakkan rakyat Malaysia di Poland mendaftar butiran diri dengan pihak kedutaan melalui hantaran Facebook.
- Menzahirkan ucapan takziah dan solidariti kepada mangsa, keluarga serta rakyat Poland dan menyediakan nombor talian kecemasan dan e-mel konsular.
Kedutaan memaklumkan, pihaknya sentiasa berhubung dengan komuniti rakyat Malaysia di Kraków bagi memastikan keselamatan mereka.
“Pihak kedutaan menggalakkan rakyat Malaysia di Poland supaya mendaftarkan butiran diri mereka dengan pihak kedutaan,” menurut kedutaan dalam satu hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Kedutaan itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada para mangsa, keluarga mereka serta seluruh rakyat Poland.
“Ingatan dan ucapan takziah kami ditujukan kepada para mangsa, keluarga mereka, dan rakyat Republik Poland dalam tempoh berkabung nasional yang sukar ini. Malaysia berdiri dalam solidariti bersama Poland menentang tindakan keganasan yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan boleh menghubungi pihak kedutaan di talian +48 22 617 4413 pada waktu pejabat atau +48 660 627 360 (pegawai bertugas), atau menerusi e-mel di mwwarsaw@kln.gov.my.- BERNAMA