
KUALA LUMPUR, 9 November- Seramai 664 penduduk daripada 190 keluarga terjejas banjir di Perak dan Selangor dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah setakat 8.30 pagi ini.
- Perak catat kes tertinggi: 446 penduduk daripada 134 keluarga di daerah Hilir Perak.
- Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru menempatkan 277 penduduk (85 keluarga) di Hilir Perak.
- Di Selangor, 218 penduduk (56 keluarga) ditempatkan di PPS termasuk SK Parit Mahang, SK Jaya Setia dan Dewan Siantan.
Menurut data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 446 orang daripada 134 keluarga di daerah Hilir Perak.
Dua PPS yang beroperasi di daerah itu ialah Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru yang menempatkan 277 penduduk daripada 85 keluarga, manakala Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap menempatkan 169 penduduk daripada 49 keluarga.
Di Selangor, seramai 218 penduduk daripada 56 keluarga terjejas banjir di daerah Kuala Selangor dan Shah Alam.
Di Kuala Selangor, seramai 103 penduduk daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, manakala SK Jaya Setia menempatkan 68 penduduk daripada 20 keluarga.
SK Dato’ Maharaja Lela turut disenaraikan sebagai PPS yang dibuka, namun belum menerima penduduk terjejas.
Sementara itu, di Shah Alam, Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang Seksyen U6 menempatkan 47 penduduk daripada 11 keluarga.
Banjir di beberapa kawasan di Selangor sebelum ini dilaporkan berlaku susulan hujan lebat termasuk di sekitar Puncak Alam dan Ijok, manakala beberapa kampung di daerah Hilir Perak turut terjejas akibat banjir sejak Khamis lepas.