Trafik lancar pagi ini, namun dijangka meningkat pada tengah hari

Logo LLM / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 November – Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama negara dilaporkan lancar setakat 8 pagi ini, dengan pergerakan kenderaan pulang ke ibu negara dijangka mula meningkat menjelang tengah hari selepas cuti perayaan Deepavali dan cuti tambahan persekolahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sedikit kesesakan di PLUS arah selatan akibat kemalangan di Km82.3 melibatkan lori dan kereta; tiada kematian dilaporkan.
  • Trafik dijangka meningkat antara 10 hingga 11 pagi bagi pergerakan masuk ke ibu kota dari utara, selatan dan Pantai Timur.
  • LLM nasihati kekalkan jarak selamat, berhenti di R&R jika penat, dan penunggang motosikal guna tempat teduhan; maklumat trafik: 1800-88-7752.

Bagaimanapun, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata berlaku sedikit kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dari Yong Peng menuju ke Ayer Hitam berikutan satu insiden kemalangan.

“Kemalangan di Kilometer 82.3 itu membabitkan sebuah lori dan kereta, namun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.

Mengulas trend kepulangan warga kota, beliau berkata pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati belum ada pergerakan ketara menghala ke Lembah Klang, kemungkinan didorong faktor cuti tambahan hari ini.

“Aliran trafik dijangka mula menunjukkan peningkatan antara 10 pagi hingga 11 pagi, membabitkan pergerakan masuk ke ibu kota dari arah utara, selatan serta Pantai Timur,” katanya.

Mengambil kira fasa Monsun Timur Laut yang membawa hujan ketika ini, LLM menasihati pengguna lebuh raya supaya sentiasa mengekalkan jarak selamat antara kenderaan bagi mengelakkan insiden brek mengejut.

“Pengguna juga diminta berhenti berehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekiranya penat atau mengantuk, manakala penunggang motosikal disaran memanfaatkan tempat teduhan yang disediakan oleh LLM dan syarikat konsesi ketika hujan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol LLM di 1800-88-7752. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.