
KUALA LUMPUR, 9 November – Kemenangan Parti Demokrat yang menguasai kedua-dua dewan Kongres Amerika Syarikat (AS) dijangka membuka ruang rundingan perdagangan dan diplomasi lebih luas kepada Malaysia, khususnya dalam mempertahankan kepentingan negara.
- Perubahan landskap politik AS mengehadkan kebebasan Presiden melaksanakan dasar luar dan ekonomi secara unilateral.
- Memberi peluang rundingan semula tarif 10 peratus terhadap produk Malaysia berkaitan dakwaan buruh paksa.
- Memberi ruang diplomasi untuk Malaysia suarakan pendirian mengenai Palestin dan konflik Asia Barat tanpa ubah pendekatan drastik.
Pakar Geopolitik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, perubahan landskap politik itu berpotensi mengehadkan kebebasan Presiden Donald Trump dalam melaksanakan dasar luar dan ekonomi secara unilateral.
“Jadi, apabila Parti Demokrat mengawal kedua-dua dewan ini, maka tangan Trump sedikit terikat. Trump sukar dan tidak boleh sewenang-wenangnya untuk melaksanakan dasar luar, termasuk dasar ekonomi dengan hubungan dua hala dua negara termasuk Malaysia,” katanya kepada RTM.
Menurut beliau lagi, keadaan itu turut memberi peluang kepada Malaysia untuk mengusahakan rundingan semula berhubung tarif 10 peratus yang dikenakan terhadap produk negara, khususnya berkaitan dakwaan buruh paksa.
Prof. Dr. Azmi berpandangan, dasar tarif berkenaan perlu dinilai semula kerana ia tidak semestinya menguntungkan ekonomi AS, sebaliknya boleh meningkatkan kos kepada pengguna di negara itu.
Dalam aspek diplomasi, beliau berpandangan, perubahan politik di Washington juga berpotensi memberi ruang lebih luas kepada Malaysia untuk menyuarakan pendirian berhubung isu Palestin dan konflik Asia Barat.
Perkembangan itu, menurutnya, susulan penolakan sebahagian pengundi AS terhadap dasar pentadbiran Trump, termasuk sokongan ketenteraan kepada Israel dan perang Iran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak perlu mengubah pendekatan diplomatik secara drastik, sebaliknya meneruskan rundingan secara dua hala dan pelbagai hala bagi memperjuangkan kepentingan negara.