ITU PP-26: Pelantikan wakil Malaysia sebagai pengerusi Jawatankuasa 5 cermin keyakinan antarabangsa

Foto FB Fahmi Fadzil

DOHA, 9 November – Pelantikan wakil Malaysia sebagai pengerusi Jawatankuasa 5 pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan negara memainkan peranan berkecuali dalam mengimbangi kepentingan pelbagai pihak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa 5 bertanggungjawab memperhalusi dasar dan perundangan serta meneliti resolusi telekomunikasi antarabangsa.
  • Lebih 95 cadangan merangkumi lebih 40 resolusi diterima untuk perbincangan sepanjang persidangan.
  • Cabaran utama ialah bertindak sebagai perantara bagi mengimbangi kepentingan pelbagai pihak bagi mencapai konsensus.
  • PP-26 ialah persidangan tertinggi ITU setiap empat tahun; delegasi Malaysia diketuai Menteri Fahmi Fadzil mempertahankan kerusi Majlis ITU.

Pengerusi Jawatankuasa 5, Eneng Faridah Iskandar berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya satu kejayaan besar negara.

“Saya rasa itu bukan sahaja satu kejayaan, ia merupakan kejayaan negara sebenarnya kerana Malaysia ini dilihat sebagai satu negara yang berkecuali dan boleh menerima pandangan kesemua pihak.

“Jadi, tugas sebagai pengerusi ini sebenarnya kita perlu mengimbangi kepentingan dan keinginan semua pihak. Jadi, kita harus berlaku adil,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas kepercayaan mencalonkan namanya bagi menggalas amanah berkenaan pada persidangan yang berlangsung dari 9 hingga 27 November ini.

Menurutnya, jawatan itu membawa amanah besar kerana bukan sahaja mewakili Malaysia, malah perlu mengambil kira kepentingan semua negara anggota yang terlibat dalam perbincangan.

Dalam pada itu, Eneng Faridah menjelaskan bahawa Jawatankuasa 5 bertanggungjawab memperhalusi pelbagai isu berkaitan dasar dan perundangan dalam kerangka ITU.

Menurutnya, lebih 95 cadangan merangkumi lebih 40 resolusi telah diterima untuk dibincangkan sepanjang persidangan kali ini.

“Antara cabaran utama adalah bertindak sebagai perantara kepada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan bagi mencapai persetujuan bersama, memandangkan ITU beroperasi berasaskan konsep konsensus,” jelasnya.

Tambah beliau, beberapa siri pertemuan awal telah diadakan sebagai persiapan bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar menjelang mesyuarat Jawatankuasa 5 yang dijadual bermula esok.

Sebagai antara jawatankuasa utama dalam ITU PP-26, Jawatankuasa 5 yang dikenali Jawatankuasa Dasar dan Perundangan bertanggungjawab membincangkan cadangan dasar serta peraturan telekomunikasi antarabangsa, selain meneliti resolusi yang dikemukakan negara anggota ITU.

PP-26 yang berlangsung di Doha merupakan persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun bagi menentukan hala tuju, dasar dan pelan strategik organisasi berkenaan.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, dengan misi mempertahankan kerusi negara dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk penetapan piawaian global, pengagihan spektrum radio, penyelarasan satelit serta usaha merapatkan jurang digital sejagat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.