
KUALA LUMPUR, 9 November – Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
- KKM menggerakkan 85 pasukan perubatan kecemasan melibatkan 387 anggota untuk operasi penilaian, rawatan kecemasan dan kawalan penyakit semasa banjir.
- Terdiri daripada 36 pasukan penilaian pantas, 34 RRT perubatan dan 15 pasukan MHPSS fokus pada sokongan kesihatan mental dan psikososial.
- KKM menyediakan 128 kenderaan, bekalan ubat stabil untuk satu hingga tiga bulan dan menekankan kebersihan, keselamatan makanan serta pemantauan penyakit berjangkit.
Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan diletakkan pada tahap berjaga-jaga untuk memantau fasiliti kesihatan serta meyakinkan kesinambungan perkhidmatan perubatan di kawasan berisiko.
Menurut kenyataan KKM, bagi mengendalikan situasi berkenaan, KKM turut menggerakkan 85 pasukan perubatan kecemasan melibatkan 387 anggota.
“Jumlah itu merangkumi 36 pasukan penilaian pantas (RAT) dan pasukan tindak cepat (RRT) kesihatan. Ini termasuk 34 RRT perubatan dan 15 pasukan sokongan kesihatan mental dan psikososial (MHPSS),” jelasnya.
KKM menambah, pasukan tersebut ditugaskan untuk menjalankan penilaian risiko, rawatan kecemasan, kawalan penyakit berjangkit serta khidmat sokongan kesihatan mental di lokasi banjir.
“Sejumlah 128 kenderaan turut disediakan bagi melancarkan pergerakan anggota di lapangan, manakala bekalan ubat-ubatan di gudang konsesi disahkan stabil untuk tempoh satu hingga tiga bulan,”ujarnya lagi.
Dalam pada itu, KKM memfokuskan kawalan keselamatan makanan, kebersihan persekitaran, serta pemantauan wabak penyakit berjangkit seperti leptospirosis, cirit-birit dan keracunan makanan di PPS.
“Orang ramai terutamanya penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, menggunakan air minuman yang bersih dan selamat, memastikan bekalan ubat pesakit kronik mencukupi serta tidak meredah air banjir.
“Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan jika bergejala,” jelas kenyataan sama.