Semangat juang tinggi sandaran skuad ragbi 7S wanita B20 negara

Ketua jurulatih negara, Rozliana Mohd Ridwan

SERDANG, 9 November – Semangat juang tinggi setiap pemain menjadi antara elemen penting yang diharapkan mampu membantu skuad ragbi tujuh sebelah (7S) wanita bawah 20 tahun (B20) negara melakar keputusan positif pada Kejohanan Ragbi Asia Emirates 7s 2026 di Bhubaneswar, India dari 14 hingga 15 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih Rozliana: skuad sudah menjalani persiapan fizikal dan mental walaupun tempoh singkat.
  • Kesungguhan dan komitmen pemain sepanjang latihan dilihat sebagai petanda positif menjelang kejohanan.
  • Penampilan kembali selepas dua tahun, perlu manfaatkan kelebihan sendiri hadapi saingan fizikal seperti Hong Kong dan China.

Ketua jurulatih negara, Rozliana Mohd Ridwan menyatakan skuad kendaliannya sudah menjalani persiapan dari aspek fizikal dan mental bagi menghadapi kejohanan berkenaan meskipun tempoh persediaan agak singkat.

Menurutnya kesungguhan serta semangat setiap pemain untuk memberikan komitmen sepanjang latihan menjadi petanda positif menjelang saingan tersebut.

“Semua pemain sudah membuat persediaan yang baik. Namun, perkara tambahan yang kita perlukan ialah semangat daripada setiap individu. Saya lihat setiap hari mereka hadir dengan harapan tinggi dan semangat untuk berjuang.

“Bagi saya, itu juga satu kemenangan dari segi persiapan. Saya berharap semangat itu dapat terus dikekalkan dan dibawa ke kejohanan nanti supaya mereka sentiasa berusaha memberikan yang terbaik” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan wanita B20 di Padang B Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kejohanan itu turut menjadi penampilan semula skuad negara selepas kira-kira dua tahun tidak menyertai pertandingan berkenaan sekali gus memberi peluang kepada pemain untuk menguji kemampuan di pentas antarabangsa.

Mengulas cabaran yang bakal dihadapi Rozliana menjangkakan Hong Kong antara pasukan yang mampu memberikan saingan sengit terutama dari segi kelebihan fizikal pemain.

Bagaimanapun beliau menegaskan faktor fizikal lawan tidak seharusnya melunturkan semangat pemain negara sebaliknya mereka perlu memanfaatkan kelebihan masing-masing sepanjang pertandingan.

“Jika dilihat pada pasukan seperti Hong Kong dan China, mungkin mereka mempunyai kelebihan dari segi saiz fizikal berbanding kita. Namun, itu tidak sepatutnya mengubah semangat pemain.

“Saya berharap setiap pemain sentiasa bersedia, mengenal pasti kelebihan masing-masing dan menggunakan segala kemampuan yang ada sebaik mungkin” jelasnya.

Sebanyak sembilan negara akan mengambil bahagian dalam kategori wanita pada kejohanan berkenaan, termasuk China, Hong Kong, Uzbekistan, Thailand dan Sri Lanka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.