FAM sahkan 6 pemain Selangor FC terlepas aksi Harimau Malaya akibat cedera

Bangunan Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya/ BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 9 November – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan enam pemain Selangor FC tidak dapat menyertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya berikutan masalah kecederaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam pemain Selangor FC yang cedera: Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah, Harith Haiqal Adam Afkar.
  • Ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe memanggil lima pemain gantian: Suhaimi Husin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ariff Farhan Md Isa, Syafiq Ahmad.
  • Harimau Malaya dijadual berlepas ke China untuk dua aksi persahabatan menentang China pada 14 November dan Yaman pada 17 November.

Dalam satu kenyataan FAM memaklumkan enam pemain terbabit ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.

FAM memaklumkan pihaknya menerima surat rasmi daripada Selangor FC hari ini berhubung kecederaan yang dialami kesemua pemain berkenaan selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC, malam tadi.

“FAM mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan menghormati situasi yang dihadapi oleh pihak kelab serta pemain terbabit,” menurut kenyataan itu.

Susulan perkembangan berkenaan, ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bertindak memanggil lima pemain daripada senarai bersedia bagi mengisi kekosongan dalam skuad negara.

Lima pemain yang dipanggil ialah penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin, Safwan Mazlan (Terengganu FC), Dominic Tan (Sabah FC), Ariff Farhan Md Isa (Kuching City FC) dan Syafiq Ahmad (Kuala Lumpur City FC).

Sebelum ini, Cheng Hoe menyatakan pihak kejurulatihan sudah bersedia dengan pilihan pemain gantian sekiranya ada pemain yang disenaraikan dalam skuad awal 24 pemain tidak dapat melaporkan diri atau mengalami kecederaan.

Dalam perkembangan sama, tonggak pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng menjadi satu-satunya pemain daripada kelab itu yang melaporkan diri bersama skuad kebangsaan hari ini.

Harimau Malaya dijadual berlepas ke China pagi esok bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China pada 14 November dan Yaman pada 17 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.