Pemain tarik diri, Cheng Hoe sedia pilihan gantian

Ketua Jurulatih Interim Pasukan Bola Sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 November – Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan melakukan perubahan terhadap senarai pemain Harimau Malaya, sekiranya ada pemain yang menarik diri atau gagal melaporkan diri bagi menyertai kem latihan pusat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejurulatihan sudah kenal pasti pemain gantian sekiranya berlaku kekosongan atau kecederaan selepas aksi separuh akhir Piala FA.
  • Belum terima pengesahan mengenai laporan sebuah kelab Liga Super mahu menarik semua pemain daripada skuad kebangsaan.
  • 24 pemain dijangka melapor diri hari ini untuk persiapan perlawanan persahabatan menentang China dan Yaman.
  • Sekiranya tujuh pemain menarik diri, persiapan berpotensi terjejas dan perjalanan latihan serta berlepas ke China mungkin terganggu.

Beliau berkata, pihak kejurulatihan sudah mengenal pasti beberapa pemain sebagai pilihan gantian sekiranya berlaku kekosongan, termasuk akibat kecederaan susulan aksi separuh akhir Piala FA yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun, Cheng Hoe memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan berhubung laporan sebuah kelab Liga Super yang dikatakan mahu menarik keluar semua pemainnya daripada skuad kebangsaan.

“Pemain gantian sudah pun dikenal pasti dan kami bersedia memanggil mereka sekiranya ada pemain yang mengalami kecederaan. Kita tahu ada perlawanan separuh akhir Piala FA semalam dan menjangkakan kemungkinan tersebut.

“Namun, sebagai jurulatih, saya kekal positif terhadap pemain yang akan melaporkan diri nanti”, katanya ketika ditemui media hari ini.

Kesemua 24 pemain yang dipanggil dijadual melaporkan diri hari ini bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China pada Sabtu ini dan Yaman pada 17 November.

Beliau turut memberi tempoh sehingga sebelum makan malam hari ini untuk pemain melapor diri, sambil berharap skuad negara dapat membuat persiapan sebaik mungkin.

Sekiranya laporan penarikan diri itu benar dan membabitkan sekurang-kurangnya tujuh pemain seperti yang diperkatakan, situasi berkenaan berpotensi menjejaskan persiapan Harimau Malaya yang dijadual berlepas ke China pagi esok.

Kedua-dua aksi persahabatan itu akan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.