
ANTALYA, 9 November – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pembukaan Pavilion Malaysia bersempena Persidangan Ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP31) di sini.
- Pavilion Malaysia dibangunkan sebagai platform untuk mengetengahkan usaha dan komitmen negara dalam agenda perubahan iklim.
- Majlis perasmian menandakan penglibatan rasmi Malaysia dalam persidangan iklim antarabangsa COP31.
- Persidangan menghimpunkan pemimpin dunia, wakil kerajaan dan organisasi antarabangsa bagi mempercepat tindakan iklim global.
- Antara agenda utama ialah inisiatif Sifar Sisa Global untuk perluas pengurusan sisa mampan dan ekonomi kitaran melalui kerjasama pelbagai pihak.
Majlis berkenaan menandakan penglibatan rasmi Malaysia dalam persidangan iklim antarabangsa berkenaan yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 November, dengan Turkiye selaku tuan rumah.
Kenyataan Kesultanan Pahang menerusi Facebook menyatakan Pavilion Malaysia dibangunkan sebagai platform khusus untuk mengetengahkan pelbagai usaha dan komitmen negara dalam agenda perubahan iklim, selain membuka ruang pertukaran pandangan serta kerjasama strategik dengan komuniti antarabangsa.
“Keberangkatan Baginda berdua mencerminkan sokongan berterusan pihak istana terhadap agenda kelestarian alam sekitar, pemeliharaan khazanah alam dan pemerkasaan pembangunan mampan.

Sebelum ini, Baginda turut memimpin pelbagai inisiatif pemuliharaan warisan alam di Pahang termasuk penubuhan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah (Al-Sultan Abdullah Royal Tigers Reserve),” jelas kenyataan tersebut.
Persidangan COP31 kali ini menghimpunkan pemimpin Dunia, wakil kerajaan serta organisasi antarabangsa bagi mempercepat tindakan iklim global.
“Antara agenda utama yang diberi tumpuan termasuklah perincian inisiatif Sifar Sisa Global (Global Zero Waste Alliance) bagi memperluas amalan pengurusan sisa mampan dan ekonomi kitaran menerusi kerjasama pelbagai pihak,” ujar kenyataan sama.