
KUALA LUMPUR, 9 November- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang berhubung rapat dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan mengesahkan dakwaan wujud unsur pemujaan dalam persembahan konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd di Bukit Jalil, di sini, minggu lalu.
- Islam tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah; semua persembahan seni mesti menghormati sensitiviti agama.
- Dr Zulkifli: JPM (Hal Ehwal Agama) melalui Bahagian Penyelidikan Jakim bekerjasama dengan PUSPAL untuk sahkan dakwaan dan pematuhan.
- Tindakan tegas akan diambil berasaskan undang-undang dan fakta sahih sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
- Konsert The Weeknd mencetuskan perdebatan susulan elemen visual dan persembahan pentas yang menimbulkan kebimbangan sensitiviti agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Islam secara tegas melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah dan setiap persembahan seni perlu menghormati sensitiviti agama di negara ini.
“Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT.
“Semua pihak perlu memastikan agar persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Menurut Dr. Zulkifli, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Bahagian Penyelidikan Jakim kini sedang bekerjasama dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
“Kerjasama ini bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta pematuhan syarat persembahan konsert The Weeknd di Bukit Jalil,” katanya.
Sementara itu, Dr. Zulkifli menegaskan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang dan fakta yang sahih sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam,” katanya.
Terdahulu, konsert The Weeknd menjadi perhatian susulan penggunaan elemen visual dan persembahan pentas yang mencetuskan perdebatan mengenai sensitiviti agama.