
KUALA SELANGOR, 9 November – Kerajaan mengumumkan peningkatan bantuan banjir kepada RM2,500 bagi setiap keluarga terjejas di Selangor setelah mengambil kira tempoh banjir yang berlarutan serta kerosakan besar dialami penduduk.
- Peningkatan bantuan dibuat kerana keluarga ditempatkan lama di PPS dan menghadapi kerosakan harta yang lebih besar.
- Perdana Menteri mengumumkan keputusan itu ketika melawat dan menyantuni mangsa di PPS SK Parit Mahang.
- Urusan bantuan akan diselaraskan melalui satu kaunter bersama pejabat negeri; kaedah pelaksanaan dan syarat diumumkan agensi pelaksana.
- Pembayaran dijangka bermula 10 November; Perdana Menteri mengucap terima kasih kepada petugas, sukarelawan dan pasukan perubatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan keluarga yang sudah beberapa hari ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan memerlukan bantuan lebih tinggi.
“Selalunya bantuan RM1,000 ini dirasakan tidak mencukupi kerana kerosakan yang dialami lebih besar. Maka, saya umumkan penambahan bantuan bagi Ketua Isi Rumah (KIR) di Selangor yang terjejas dalam tempoh panjang dan mengalami kerosakan sebanyak RM2,500,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyantuni penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, di sini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar memaklumkan urusan bantuan akan diselaraskan menerusi satu kaunter bersama pejabat kerajaan negeri bagi memudahkan pengurusan kepada keluarga terlibat.
“Pembayaran bantuan itu dijangka bermula esok (10 November), manakala kaedah pelaksanaan dan syarat kelayakan akan dimaklumkan oleh agensi pelaksana,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas daripada agensi persekutuan dan negeri, sukarelawan serta pasukan perubatan yang memberikan khidmat sepanjang tempoh banjir.
“Saya ucap terima kasih kepada semua petugas termasuk para sukarelawan. Cuti panjang ini nampaknya mereka terpaksa berkorban,” jelas Perdana Menteri lagi.