
KUALA LUMPUR, 9 November –Seorang penghantar makanan berusia 21 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengintai seorang wanita di tandas sebuah bangunan di Jalan Bukit Bintang.
- Mangsa wanita 37 tahun membuat laporan polis pada pukul 12.01 pagi mengenai kejadian mengintip di tandas.
- Lelaki tidak dikenali mengintip melalui ruang atas tandas; mangsa menjerit meminta bantuan suami.
- Polis menahan suspek bagi membantu siasatan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita berusia 37 tahun, pada pukul 12.01 pagi berhubung kejadian berkenaan.
“Mangsa mendakwa menyedari seorang lelaki tidak dikenali mengintainya melalui ruang atas tandas ketika sedang menggunakan kemudahan itu sebelum menjerit meminta bantuan suaminya.
“Susulan itu, pihak polis telah menahan suspek seorang lelaki Melayu berumur 21 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, video berdurasi 24 saat yang memaparkan kejadian berkenaan tular menerusi media sosial Threads, hari ini.