EU gesa tingkat akses bantuan ke Gaza

Foto AFP

GENEVA, 9 November – Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) bagi Kesamaan, Kesiagaan dan Pengurusan Krisis, Hadja Lahbib menggesa agar akses bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza ditingkatkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat menenggelamkan kem-kem penempatan sementara, memburukkan keadaan keluarga yang sudah menghadapi krisis kemanusiaan.
  • Penduduk terpaksa mencedok air dari khemah menggunakan periuk dan kuali, menunjukkan kesengsaraan dan kekurangan asas.
  • Banjir, kerosakan infrastruktur dan kekurangan peralatan kecemasan menghalang operasi bantuan; lebih banyak bantuan diperlukan segera untuk hampir dua juta yang memerlukan.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, gesaan tersebut susulan hujan lebat yang menenggelamkan kem-kem penempatan sementara, sekali gus memburukkan lagi keadaan keluarga yang sudah berdepan krisis kemanusiaan meruncing.

“Di Gaza, keluarga terpaksa mencedok air keluar dari khemah mereka menggunakan periuk dan kuali,” catat Lahbib menerusi platform media sosial AS, X.

Beliau berkata banjir telah melanda kem-kem petempatan warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal, sambil menambah hujan lebat memburukkan lagi situasi yang sememangnya kritikal.

“Hujan menjadikan krisis yang sememangnya tidak tertanggung ini bertambah parah,” katanya.

Lahbib memaklumkan bahawa pertubuhan kemanusiaan terus menjalankan operasi mereka meskipun dalam keadaan cuaca ribut, namun menegaskan keperluan mendesak terhadap bantuan tambahan.

“Mereka memerlukan lebih banyak bantuan dibawa masuk, sekarang,” tegasnya.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, ribut yang bermula lewat Jumaat menenggelamkan kira-kira 70,000 khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, manakala kerosakan infrastruktur serta kekurangan peralatan kecemasan merumitkan lagi operasi bantuan.

Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memaklumkan pada Khamis kira-kira 1.98 juta penduduk di Gaza memerlukan tempat perlindungan dan bekalan asas lain, sekali gus menunjukkan skala keperluan kemanusiaan yang besar menjelang musim sejuk.- BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.