Kelayakan Piala Asia: Dua jaringan lawan hukum pasukan negara

Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 9 November – Kekalahan Skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara kepada Palestin ternyata memberi kesan kepada pasukan kendalian Muhammad Shukor Adan apabila terpaksa akur dengan keputusan 0-2.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gagal menunaikan beberapa peluang keemasan dianggap punca utama prestasi mengecewakan skuad.
  • Taktikal yang dirancang tidak memberi hasil walaupun mengambil kira kelebihan fizikal pihak lawan.
  • Pasukan akan membuat analisis rakaman perlawanan untuk kenal pasti dan baiki kelemahan sebelum aksi seterusnya.
  • Jurulatih menegaskan peluang layak masih terbuka, pemain perlu lupakan kekecewaan dan fokus kepada perlawanan akan datang.

Kegagalan menyempurnakan beberapa peluang keemasan menjadi antara faktor utama kekalahan skuad negara, terutama ketika pasukan mempunyai peluang untuk mendahului perlawanan sebelum Palestin membuka jaringan.

Ketua Jurulatih Muhammad Syukur Adan berkata, taktikal yang dirancang gagal membuahkan hasil meskipun perancangan strategi pasukan turut disusun dengan mengambil kira kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Palestin,

“Kita sedar yang kita perlu bermain dengan ruang, selain memanfaatkan kepantasan pemain serta lebih sabar dalam membina serangan. Namun, apabila peluang di depan mata, kita masih gagal.

“Kita gagal memanfaatkan peluang yang ada, sebaliknya Palestin berjaya menggunakan dua peluang untuk menghasilkan gol. Akhirnya, kita terpaksa menerima akibat daripada kelalaian sendiri,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan antara Malaysia dan Palestin di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Mengulas mengenai kelemahan pasukan, Syukur berkata, analisis rakaman perlawanan akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi aksi seterusnya.

“Kita perlu melihat semula video perlawanan dan menganalisis setiap aspek permainan yang perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.

“Saya juga sudah mengingatkan pemain bahawa peluang untuk layak masih belum tertutup dan segalanya masih belum mustahil kerana kita masih mempunyai peluang.”

“Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran. Kita harus segera melupakan kekecewaan ini, bangkit dan memberikan sepenuh tumpuan kepada perlawanan seterusnya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan peluang pasukan untuk mara ke pusingan seterusnya masih belum tertutup dan pemain perlu segera bangkit daripada kekecewaan tersebut.

Sementara itu, ketua jurulatih Palestin, Mohamaad Sharbaji memuji keupayaan anak buahnya, selain mengakui Malaysia merupakan pasukan yang lebih kuat daripada jangkaannya dengan dibarisi pemain berkualiti yang memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Perlawanan ini cukup sukar, terutama dengan keadaan padang yang basah akibat hujan. Namun, kami tetap berusaha sebagai satu pasukan dan akhirnya berjaya memperoleh kemenangan serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Secara peribadi, saya amat menghormati negara ini dan pasukannya. Saya juga menghargai sokongan yang diberikan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.