KTMB perjelas status stor terbakar di Sepang

Foto KTMB

KUALA LUMPUR, 8 November – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan stor penyimpanan peralatan yang musnah dalam kebakaran di Desa Pinggiran Putra, Sepang, Selangor pada malam Sabtu merupakan milik atau di bawah pengurusan syarikat itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Stor dan peralatan adalah tanggungjawab kontraktor X-Rail Systems.
  • X-Rail Systems terlibat dalam Projek KVDT yang dikendalikan JKR dan Kementerian Pengangkutan.
  • KTMB menegaskan tiada kawalan atau tanggungjawab terhadap pengurusan stor, aset dan aspek keselamatan di lokasi.
  • Kebakaran musnahkan kira-kira 95 peratus stor; tiada kematian; punca dan kerugian disiasat JBPM Selangor.

Sebaliknya, KTMB menjelaskan stor berkenaan termasuk segala peralatan yang disimpan di dalamnya adalah di bawah tanggungjawab kontraktor X-Rail Systems.

Menurut kenyataan KTMB, kontraktor berkenaan terlibat dalam pelaksanaan Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT), yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Justeru, KTMB menegaskan pihaknya tidak mempunyai kawalan atau tanggungjawab terhadap pengurusan stor, aset serta aspek keselamatan di lokasi kejadian.

Sehubungan itu, KTMB meminta orang ramai dan pihak media memperbetulkan maklumat berhubung pemilikan serta pengurusan stor berkenaan bagi mengelakkan salah faham.

Terdahulu, media melaporkan stor penyimpanan peralatan yang dikaitkan dengan KTMB di kawasan berkenaan musnah kira-kira 95 peratus dalam kebakaran pada malam Sabtu.

Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa, namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.