
MELAKA, 8 November – Sebanyak 23 loji rawatan kumbahan (LRK) di Melaka akan dinaik taraf menerusi peruntukan RM35 juta oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bagi meningkatkan kecekapan sistem pembetungan serta memastikan kualiti rawatan kumbahan lebih baik.
- Projek melibatkan 11 loji di Jasin, 11 di Alor Gajah dan sebuah di Melaka Tengah.
- Naik taraf dijangka memberi manfaat kepada 29,011 penduduk setara, 13,216 di Jasin dan 14,125 di Alor Gajah.
- Inisiatif ini adalah sebahagian Fasa Kedua program naik taraf LRK di seluruh negara, susulan kejayaan Fasa Pertama.
- Naik taraf memastikan pematuhan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, memperbaiki efluen terawat dan memelihara sumber air serta alam sekitar.
Projek berkenaan melibatkan 11 loji masing-masing di daerah Jasin dan Alor Gajah, manakala sebuah lagi di Melaka Tengah.
Ketua Pegawai Operasi Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd Mohd Taufik Salleh berkata, pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat kepada 29,011 penduduk setara (PE).
“Kerja naik taraf di Jasin dijangka memberi manfaat kepada 13,216 PE, manakala di Alor Gajah melibatkan 14,125 PE.
“Projek naik taraf di Jasin dilancarkan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad semalam, manakala projek di Alor Gajah dilancarkan hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, IWK memaklumkan, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Fasa Kedua program naik taraf 537 LRK di seluruh negara.
Ia menyusuli kejayaan Fasa Pertama yang menyaksikan sebanyak 636 LRK dinaik taraf dengan kos RM180 juta.
Mohd Taufik berkata, usaha itu bertujuan memastikan semua loji rawatan kumbahan awam mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Selain meningkatkan kecekapan proses rawatan, projek berkenaan turut dijangka memperbaiki kualiti efluen terawat, sekali gus membantu memelihara sumber air dan kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, SPAN serta IWK dalam memperkukuh infrastruktur pembetungan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap dan memenuhi keperluan pembangunan negara,” katanya.