Dagangan Bursa Malaysia dijangka dalam julat 1,600 hingga 1,630 minggu depan

Bursa Malaysia / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 November – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam julat 1,600-1,630 minggu depan dengan aktiviti pembelian saham terpilih dijangka menyokong pasaran pada paras lebih rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur memantau data CPI dan PPI AS Oktober untuk petunjuk inflasi dan prospek kadar faedah Fed.
  • Inflasi China Oktober dan data pengeluaran perindustrian Malaysia September diumum Isnin dan Selasa, memberi gambaran ekonomi serantau.
  • Walaupun ketidaktentuan, FBM KLCI dijangka kekal stabil; prestasi sektor mencatat campuran kenaikan dan penurunan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pelabur akan memantau data Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar Amerika Syarikat (AS) bagi bulan Oktober untuk mendapatkan petunjuk lanjut mengenai inflasi serta prospek kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.

”Sementara itu, inflasi China bagi bulan Oktober serta data pengeluaran perindustrian Malaysia bagi bulan September, masing-masing akan diumumkan pada Isnin dan Selasa, bakal memberikan gambaran lebih jelas mengenai keadaan ekonomi serantau.

“Walaupun situasi ketidaktentuan tidak boleh dielakkan, kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus kekal stabil,” katanya.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI naik 0.98 mata kepada 1,616.58 daripada 1,615.60 pada minggu sebelumnya.

Prestasi merentasi sektor menyaksikan Indeks Perladangan naik 28.94.66 mata kepada 8,726.36 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 409.07 mata kepada 18,957.06.

Bagaimanapun Indeks Tenaga turun 57.30 mata kepada 794.86, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 7.02 mata kepada 171.35.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan menokok kepada 8.30 bilion saham bernilai RM13.08 bilion daripada 5.13 bilion saham bernilai RM8.83 bilion pada minggu lepas sebelumnya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.