
KUALA LUMPUR, 7 November – Kontrak niaga hadapan emas dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan, di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran global.
- Stephen Innes menjangka emas diniagakan antara US$3,975 dan US$4,175 setiap auns troy.
- Harga minyak mentah terus menjadi pemboleh ubah utama, kenaikan minyak dan ekuiti tertekan boleh menyukarkan pengukuhan emas.
- Jika kelemahan ekuiti meningkatkan jangkaan Fed kurang agresif, emas mungkin menyaksikan kemasukan semula pembeli.
- Kontrak mingguan mengukuh dan jumlah dagangan meningkat, volum 591 lot, kepentingan terbuka 177 kontrak; harga fizikal ditetapkan pada US$4,112.85.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata logam berharga itu mungkin diniagakan antara US$3,975 dan US$4,175 setiap auns troy.
“Harga minyak mentah terus kekal sebagai pemboleh ubah utama. Jika harga minyak mentah terus meningkat manakala ekuiti kekal tertekan, emas mungkin sukar untuk mengukuhkan kedudukannya.
“Bagaimanapun, sekiranya kelemahan ekuiti mula mendorong kepada jangkaan Rizab Persekutuan AS yang kurang agresif, logam berharga itu mungkin akan menyaksikan kedatangan semula pembeli,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas mingguan, kontrak November 2026 meningkat kepada US$4,087.60 setiap auns troy daripada US$4,003.00, dan kontrak Disember 2026 mengukuh kepada US$4,103.20 setiap auns troy daripada US$4,017.90.
Sementara itu, kontrak Januari 2027, Februari 2027, April 2027 dan Jun 2027 menokok kepada US$4,104.30 setiap auns troy berbanding US$4,019 sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 591 lot berbanding 341 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 177 kontrak daripada 65.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,112.85 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 5 November 2026.- BERNAMA