Pasaran getah dijangka menjejaki aliran menurun minggu depan susulan lebihan bekalan

Gambar Hiasan /RTM

KUALA LUMPUR, 7 November – Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka diniagakan dalam keadaan lebih perlahan dan lemah dengan harga berkemungkinan terus menunjukkan aliran menurun berikutan lebihan bekalan serta keadaan cuaca bermusim yang lebih baik menjelang musim tengkujuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Meteorologi ramal hujan lebat di Thailand dan amaran ribut petir serta hujan lebat di Malaysia.
  • Hasil torehan dijangka meningkat selari pengeluaran, mewujudkan pasaran memihak pembeli dan aktiviti pembelian spekulatif terhad.
  • Harga kekal sensitif terhadap risiko bekalan cuaca, terutamanya kemungkinan El Nino menyebabkan keadaan lebih kering dan gangguan pengeluaran.
  • Permintaan lemah dari industri hiliran China dan ketidaktentuan ekonomi global mungkin mengehadkan kenaikan harga selanjutnya.

Pakar industri Denis Low berkata Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat berselang-seli di beberapa wilayah manakala Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di negara ini.

“Permintaan masih kukuh tanpa didorong oleh aktiviti pembelian spekulatif dengan mengambil kira musim tengkujuh yang bakal tiba.

“Sememangnya, hasil torehan dijangka meningkat sejajar dengan pertambahan pengeluaran getah. Perlu diberi perhatian bahawa pengeluaran getah di kebanyakan negara pengeluar turut mencatatkan hasil torehan yang baik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keadaan cuaca yang baik dalam beberapa minggu akan datang dijangka meningkatkan hasil torehan getah sekali gus mewujudkan pasaran yang memihak kepada pembeli. Aktiviti penambahan stok dijangka berterusan pada kadar stabil berikutan aktiviti pembelian spekulatif yang terhad.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya diniagakan rendah, ditekan oleh penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, penurunan harga penanda aras minyak mentah serta pengukuhan sedikit nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga getah dijangka kekal sensitif terhadap risiko bekalan berkaitan cuaca di negara pengeluar utama khususnya apabila fenomena El Niño yang semakin ekstrem meningkatkan kemungkinan keadaan lebih kering serta potensi gangguan terhadap pengeluaran getah asli dalam beberapa bulan akan datang.

“Bagaimanapun, permintaan yang perlahan daripada industri hiliran khususnya di China serta ketidaktentuan berhubung pertumbuhan ekonomi global mungkin mengehadkan kenaikan harga selanjutnya,” katanya.

Beliau menambah bahawa harga minyak mentah dijangka kekal tidak menentu berikutan harapan terhadap meredanya ketegangan antara AS dan Iran boleh memberi tekanan kepada harga manakala risiko berterusan terhadap laluan perkapalan melalui Selat Hormuz boleh menyokong harga.

“Peserta pasaran juga akan memantau perkembangan dasar AS susulan pilihan raya pertengahan penggal, tamatnya tempoh gencatan perdagangan AS-China, perkembangan hubungan perdagangan di antara Kesatuan Eropah dengan China, pergerakan pasaran niaga hadapan getah serantau serta prestasi ringgit berbanding dolar AS,” katanya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 38.5 sen kepada 955.50 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 19 sen kepada 768.50 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada Isnin, 9 November, 2026 sempena cuti gantian Deepavali dan akan kembali beroperasi pada Selasa, 10 November, 2026. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.