Mesir buka semula kedutaan di Libya selepas 12 tahun

Bangunan Kedutaan Mesir di Tripoli, Libya/ AFP (Foto kecil: Badr Abdelatty/ AFP)

TRIPOLI, 8 November- Mesir membuka semula kedutaannya di ibu negara Libya, Tripoli pada Sabtu selepas ditutup selama 12 tahun susulan konflik yang melanda negara itu pada 2014.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Luar Badr Abdelatty merasmikan pembukaan semula kompleks kedutaan di Tripoli.
  • Kerajaan Tripoli menyifatkan pembukaan itu sebagai perkembangan positif hubungan dua hala.
  • Parlimen timur meratifikasi perjanjian maritim dengan Turkiye, mencetuskan bantahan Kaherah yang dakwa pelanggaran kawasan maritim Mesir.

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty merasmikan pembukaan semula kompleks kedutaan berkenaan selepas tiba di Libya pada hari sama.

Kerajaan Libya yang berpangkalan di Tripoli dalam satu kenyataan menyifatkan pembukaan semula itu sebagai langkah yang mencerminkan perkembangan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Libya masih bergelut memulihkan kestabilan sejak kebangkitan rakyat pada 2011 yang mendapat sokongan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan membawa kepada penggulingan bekas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi.

Ketika ini, Libya berdepan persaingan dua pentadbiran iaitu kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Tripoli pimpinan Perdana Menteri, Abdulhamid Dbeibah dan pentadbiran pesaing di timur negara itu yang disokong Khalifa Haftar.

Mesir sebelum ini secara konsisten menyokong Haftar yang mempunyai pengaruh di wilayah timur Libya.

Pembukaan semula kedutaan itu berlangsung beberapa minggu selepas parlimen Libya di timur negara berkenaan meratifikasi perjanjian maritim dengan Turkiye yang sekian lama menjadi pertikaian.

Perkembangan itu mencetuskan bantahan Kaherah yang mendakwa perjanjian berkenaan melanggar kawasan maritim Mesir. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.