Harga emas dunia dijangka cecah AS$5,000 seauns dalam dua tahun

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 November – Harga emas dunia dijangka kembali mengukuh dengan unjuran antara AS$4,000 hingga AS$5,000 seauns dalam tempoh dua tahun akan datang, meskipun berdepan tekanan pasaran dalam jangka pendek.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekanan harga emas bersifat sementara dan banyak dipengaruhi tahap kecairan pasaran kewangan antarabangsa.
  • Dasar Rizab Persekutuan AS dan perkembangan politik AS menjadi faktor utama mempengaruhi pergerakan harga, terutama jika kadar faedah dinaikkan.
  • Hutang kerajaan AS yang tinggi meningkatkan beban pembayaran faedah dan risiko cetakan wang, menjadikan emas lebih menarik sebagai aset lindung nilai.

Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Seri Louis Ng berkata, tekanan itu bersifat sementara dan berkait rapat dengan tahap kecairan dalam pasaran kewangan antarabangsa.

“Jadi, harga emas ketika ini banyak ditentukan oleh tahap kecairan dalam pasaran antarabangsa. Keadaan kekurangan kecairan ini dipengaruhi dua faktor utama, iaitu dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) dan perkembangan politik di negara itu,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar majlis Public Gold Diamond Recognition di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Menurut Datuk Seri Louis lagi, keputusan Fed pada mesyuarat pada Disember ini dijangka menjadi antara faktor yang mempengaruhi pergerakan harga emas tahun hadapan, khususnya jika kadar faedah dinaikkan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan prospek jangka panjang emas kekal positif berikutan peningkatan hutang kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang kini menghampiri AS$40 trilion.

Katanya, beban pembayaran faedah hutang yang semakin tinggi berpotensi mendorong pertambahan bekalan wang dalam ekonomi.

Keadaan itu boleh menghakis nilai mata wang, sekali gus meningkatkan daya tarikan emas sebagai aset lindung nilai dalam kalangan pelabur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.