
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Pasukan bola sepak bawah 19 tahun (B-19) negara bimbingan Nafuzi Zain diundi dalam Kumpulan H bersama juara bertahan Australia bagi saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2027.
- Aksi kelayakan berlangsung di Laos dari 31 Ogos hingga 6 September.
- Hanya juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di China pada Mac 2027, selain tuan rumah.
- Australia dianggap pasukan pilihan setelah menjuarai edisi 2025 menerusi penalti dramatik ke atas Arab Saudi.
Dua lagi wakil Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Laos turut melengkapkan saingan kumpulan tersebut dengan aksi kelayakan dijadual berlangsung di Laos dari 31 Ogos hingga 6 September depan.
Hanya juara kumpulan bersama tujuh pasukan naib juara terbaik akan mengesahkan tiket ke pusingan akhir di China pada Mac 2027 selain tuan rumah yang layak secara automatik.
Australia hadir selaku pasukan pilihan selepas muncul juara edisi 2025 menerusi kemenangan dramatik 5-4 ke atas Arab Saudi menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 di pentas akhir.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di pentas Piala Asia B-20 adalah muncul naib juara sebanyak tiga kali pada edisi 1959, 1960 dan 1968.
Skuad muda negara bagaimanapun gagal layak ke edisi terdahulu di China selepas menamatkan kempen kelayakan di tangga keempat ketika saingan berlangsung di Tajikistan.