RM50,000 diperlukan, jayakan Kejohanan Sukan Orienteering NsSDeaf

Foto NsSDeaf

SEREMBAN, 28 Oktober – Dana sebanyak RM50,000 diperlukan bagi menjayakan penganjuran Kejohanan Sukan Orienteering Orang Pekak Malaysia Kali Ke-2 yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 14 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persatuan sedang giat mendapatkan baki peruntukan untuk membiayai penganjuran kejohanan.
  • Peruntukan diperlukan untuk menampung logistik dan kebajikan peserta serta pegawai teknikal.
  • Pihak penganjur berharap kerajaan negeri, Menteri Besar dan EXCO sukan mempertimbangkan bantuan peruntukan khas segera.
  • Kejohanan penting untuk mencungkil bakat baharu dan sokong inklusiviti; NsSDeaf membuka ruang penajaan daripada korporat, agensi dan NGO.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Sembilan (NsSDeaf), Sharul Anuar Mamat berkata, pihaknya kini giat berusaha mendapatkan baki peruntukan sebanyak RM50,000 daripada anggaran keseluruhan kos penganjuran berjumlah RM62,325.

Peruntukan berkenaan bertujuan menampung keperluan logistik dan kebajikan membabitkan seramai 112 peserta dan pegawai teknikal.

“Kami amat berharap agar kerajaan Negeri Sembilan, khususnya Menteri Besar dan EXCO berkaitan sukan, dapat mempertimbangkan bantuan peruntukan khas ini bagi memastikan temasya dapat diteruskan seperti yang dirancang.

“Atlet pekak juga mempunyai impian dan semangat juang yang tinggi. Mereka hanya memerlukan peluang serta sokongan sewajarnya untuk membuktikan kemampuan dalam arena sukan,” katanya

Jelas Sharul Anuar, kekangan masa yang semakin suntuk menuntut komitmen kewangan segera bagi melancarkan persiapan aspek pengangkutan, penyediaan makanan, keselamatan, serta fasiliti pertandingan.

Tegasnya, kejohanan peringkat kebangsaan itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya platform penting mencungkil bakat baharu untuk mewakili negeri dan negara ke persada antarabangsa, selain menyokong agenda inklusiviti sukan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, NsSDeaf turut membuka ruang kerjasama dan penajaan daripada syarikat korporat, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyumbang.

Penganjuran kejohanan di Taman Tasik Seremban itu turut mendapat kerjasama strategik Persatuan Sukan Orienteering Negeri Sembilan dan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.