Max Tang galas cabaran Kejohanan Akhir Dunia OCEANMAN

Foto OCEANMAN

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Perenang muda perairan terbuka negara, Max Tang, kini bersiap sedia menggalas cabaran antarabangsa terbesar dalam kariernya pada Kejohanan Akhir Dunia OCEANMAN yang dijadualkan berlangsung di Miches, Republik Dominika, bermula 13 hingga 15 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Max Tang, 16, akan beraksi dalam kategori umur 15-19 bagi acara 2km Sprint dan 5km Half OCEANMAN.
  • Tiket ke pentas akhir diraih selepas kemenangan berganda Max di OCEANMAN Kota Kinabalu pada Julai lalu.
  • Beliau bukan sahaja juara remaja, malah menewaskan perenang dewasa lebih berpengalaman untuk juara keseluruhan kedua-dua jarak.
  • Max diangkat pembawa bendera Jalur Gemilang dan juga beraksi di SUKMA, tersenarai bagi 400m gaya bebas Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara.

Atlet berusia 16 tahun itu bakal beraksi dalam kategori umur 15 hingga 19 tahun bagi acara 2 kilometer (km) Sprint dan 5km Half OCEANMAN.

Tiket ke pentas akhir dunia itu diraih susulan kejayaan luar biasanya melakar kemenangan berganda pada saingan OCEANMAN Kota Kinabalu, Julai lalu.

Lebih membanggakan, Max yang ketika itu baru berusia 15 tahun bukan sekadar mengungguli kategori remaja, bahkan menewaskan barisan perenang dewasa yang jauh lebih berpengalaman untuk muncul juara keseluruhan bagi kedua-dua jarak berkenaan.

Susulan prestasi cemerlang itu, Max turut diberi penghormatan untuk bertindak sebagai pembawa bendera Jalur Gemilang mewakili kontinjen Malaysia pada perarakan pembukaan kejohanan berprestij berkenaan.

Bakat muda ini bukan nama asing dalam sukan akuatik kompetitif apabila turut membuktikan kehebatannya di kolam renang menerusi penampilan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, selain tersenarai dalam senarai panjang acara 400 meter gaya bebas bagi Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara ke-48.

Cabaran Max di Republik Dominika dijadualkan bermula dengan acara 2km Sprint pada 14 November, sebelum turun memburu kejayaan dalam saingan 5km Half OCEANMAN pada hari berikutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.