
KUALA LUMPUR, 23 November – Malaysia dan Taiwan berpotensi memperluas kerjasama dalam industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), khususnya menerusi penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan teknologi maju negara itu.
- Kepakaran Taiwan dalam rantaian bekalan AI membuka peluang kepada syarikat Malaysia meningkatkan keupayaan industri.
- Malaysia boleh memanfaatkan teknologi dan kepakaran Taiwan, sementara Taiwan mendapat manfaat daripada ekosistem pembuatan Malaysia.
- Prestasi perdagangan dua hala menunjukkan peningkatan ketara pada tahun ini.
- Kerjasama industri semakin berkembang bagi memenuhi keperluan rantaian bekalan AI global.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, kepakaran Taiwan dalam membangunkan rantaian bekalan AI membuka peluang besar kepada syarikat Malaysia untuk meningkatkan keupayaan industri.
Katanya, hubungan saling melengkapi antara kedua-dua negara membolehkan Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran Taiwan, manakala Taiwan turut mendapat manfaat daripada keupayaan industri serta ekosistem pembuatan Malaysia.
“Taiwan mempunyai rantaian bekalan AI paling maju di dunia. Ini membuka peluang yang sangat besar kepada syarikat Malaysia untuk bekerjasama dengan rantaian bekalan negara itu.
“Saya melihat kerjasama ini menawarkan peluang yang sangat menarik kerana Taiwan dan Malaysia saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran pelancaran awal Manufacturing Supply Chain Expo (MSCX) 2027 di sini hari ini.
Beliau berkata, potensi kerjasama itu turut dicerminkan menerusi prestasi perdagangan dua hala yang menunjukkan peningkatan ketara pada tahun ini.
Katanya, perkembangan itu membuktikan hubungan perdagangan dan kerjasama industri antara kedua-dua negara semakin berkembang, khususnya dalam memenuhi keperluan rantaian bekalan AI global.