
KUALA LUMPUR, 23 November – Kira-kira 3,000 penjawat awam dalam kalangan masyarakat orang asli disasarkan menyertai Himpunan Perdana Penjawat Awam Orang Asli (HPPAOA) 2026, yang julung kali dianjurkan.
- HPAAOA menjadi platform membangunkan pangkalan data khusus penjawat awam orang asli di seluruh negara.
- Himpunan mengetengahkan kejayaan orang asli dalam sektor awam dan memberi inspirasi kepada generasi muda; buku wajah penjawat awam turut dirancang.
- JAKOA menyediakan pembiayaan pendidikan hingga peringkat tinggi, biasiswa ijazah tanpa bayaran balik serta laluan TVET.
Program itu turut menjadi platform membangunkan pangkalan data khusus bagi mengenal pasti penjawat awam orang asli yang berkhidmat dalam pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Ir. Ts Mahat Mat Dong berkata, berdasarkan rekod sedia ada, kira-kira 5,200 penjawat awam orang asli dikenal pasti berkhidmat di peringkat persekutuan dan negeri.
“Selain jualan reruai usahawan dan persembahan kebudayaan masyarakat orang asli, himpunan ini turut mendapat perhatian ‘Malaysia Book of Records’ sebagai usaha menghimpunkan penjawat awam daripada masyarakat berkenaan dalam satu platform,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Menurutnya, himpunan itu juga bertujuan mengetengahkan kejayaan masyarakat orang asli dalam sektor awam, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi pelbagai bidang profesional.
Katanya, pendedahan terhadap pencapaian individu dalam bidang perubatan, perundangan, kejuruteraan dan pentadbiran kerajaan dapat membuktikan kepentingan pendidikan dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.
“Melalui himpunan ini, kita mahu generasi muda melihat sendiri ramai dalam kalangan masyarakat orang asli sudah berjaya dalam sektor awam.
“Kita juga mahu menghasilkan buku wajah penjawat awam orang asli sebagai rujukan dan panduan kepada generasi akan datang, sekali gus memperlihatkan sumbangan serta peranan masyarakat itu dalam pentadbiran kerajaan dan pembangunan negara,” katanya lagi.
Himpunan itu dijadual berlangsung pada 28 November ini, bermula pada pukul 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dalam pada itu, JAKOA turut menyediakan sokongan pendidikan untuk orang asli menerusi pembiayaan persekolahan sehingga peringkat pengajian tinggi, termasuk biasiswa tanpa bayaran balik bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Ir. Ts Mahat berkata, bagi pelajar yang kurang cenderung dalam bidang akademik, JAKOA turut menyediakan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran serta peluang kerjaya.
“Untuk berjaya dan bersaing dengan masyarakat lain, orang asli perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran kerana kedua-duanya mampu mengubah kehidupan,” katanya lagi.