
KUALA LUMPUR, 23 November – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek hari ini mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jasmin 2, Kajang bagi meninjau persiapan sekolah sempena hari pertama peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
- Fadhlina bertemu calon SPM dan menyampaikan kata-kata semangat sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan.
- Beliau tidak memaklumkan lawatan lebih awal supaya dapat melihat keadaan sebenar dan memastikan persiapan berjalan lancar.
- Calon diingatkan supaya tidak terlalu tertekan, yakin dengan usaha sendiri dan terus berusaha; beliau turut mendoakan kejayaan mereka.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau bertemu calon SPM dan menyampaikan kata-kata semangat sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata sengaja tidak memaklumkan lawatan berkenaan lebih awal bagi melihat sendiri keadaan sebenar serta memastikan semua persiapan berjalan lancar.
“Saya sengaja tidak memaklumkan lawatan ini lebih awal. Nak lihat sendiri keadaan sebenar di sekolah dan memastikan segala persiapan berjalan baik. Paling saya nantikan, dapat bertemu anak-anak sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan,” kongsi beliau di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan calon supaya tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri dan yakin dengan usaha serta persiapan yang dilakukan selama ini.
“Buat anak-anak, saya tahu bermacam-macam perasaan bermain di fikiran pagi ini. Saya cuma nak pesan, jangan terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Percayalah pada segala usaha yang telah kalian lakukan selama ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan kejayaan semua calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
“Selamat maju jaya, anak-anak! Hari ini giliran kalian berusaha, kami di luar ini tidak putus-putus mendoakan,” katanya.
Seramai 420,898 calon SPM memulakan peperiksaan bertulis hari ini di seluruh negara dan akan berlangsung hingga 17 Disember.