MySiren tidak akses maklumat peribadi pengguna telefon pintar

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil/ BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 23 November – Sistem amaran awal MySiren tidak mengumpul atau mengakses sebarang maklumat peribadi pengguna telefon pintar.

RINGKASAN BERITA AI
  • MySiren menyalurkan amaran kepada semua telefon pintar dalam lingkungan pemancar aktif tanpa mengenal pasti nombor telefon individu.
  • Sistem ini menyampaikan maklumat kecemasan lebih pantas berbanding khidmat pesanan ringkas (SMS).
  • MySiren memintas barisan penghantaran telco dan menyalurkan mesej terus melalui menara telekomunikasi sebagai pemancar.
  • Ujian MySiren di seluruh negara akan berlangsung pada 29 November, dari 10.10 pagi hingga 10.30 pagi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menjelaskan sistem itu beroperasi dan menyalurkan amaran kepada semua telefon pintar yang berada dalam lingkungan liputan pemancar aktif di sesuatu kawasan, tanpa perlu mengenal pasti nombor telefon individu.

“Dia tidak mendapatkan apa-apa maklumat data pengguna, berbeza dengan SMS. SMS, dia mesti menghantar kepada penerima. Ini dia tidak kisah siapa yang menerima tetapi, sebab handphone itu berada dalam lokasi itu. Maka, semua akan dapat dan tidak ada maklumat yang dikutip melalui eksesais ini. Jadi, data selamat”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional MySiren di Bangunan Parlimen.

Datuk Seri Fahmi memaklumkan MySiren berupaya menyalurkan maklumat kecemasan kepada orang ramai dengan lebih pantas berbanding kaedah penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kalau SMS, dia akan melalui queue daripada telco. Ini dia bypass telco, terus kepada apa yang disebut sebagai alat pemancar. Jadi, semua menara-menara telekomunikasi boleh bertindak sebagai pemancar bagi mesej amaran bencana.

“Jadi, dia tidak menggunakan perkhidmatan telco yang biasa. Dan semua peranti yang berada dalam satu kawasan itu akan mendapat maklumat. Bukan, dia tidak akan tuju kepada individu ataupun kepada nombor telefon tapi keberadaan dalam lingkungan menara ataupun pemancar yang aktif”, katanya.

Ujian sistem amaran awal MySiren akan dilaksanakan di seluruh negara pada 29 November, antara pukul 10.10 pagi sehingga 10:30 pagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.