PMKS perlu perkukuh organisasi, manfaat bantuan kerajaan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu memperkukuh struktur organisasi bagi memastikan bantuan kerajaan dimanfaatkan secara optimum, sekali gus menjamin kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan kerajaan seperti insentif dan kemudahan pembiayaan membuka peluang pengembangan perniagaan untuk usahawan.
  • RUU E-Dagang dianggap perkembangan positif untuk mengawal selia e-dagang dan melindungi kepentingan peniaga tempatan.
  • World Marketing Summit 2026 berperanan memupuk pengetahuan pemasaran global, teknologi baharu dan AI bagi meningkatkan daya saing usahawan.

Pengasas dan Presiden Kumpulan Syarikat ANNEMS, Datuk Dr. Faridah Hanim Haron berkata, bantuan kerajaan termasuk insentif dan kemudahan pembiayaan mampu membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan.

“Sebenarnya, apa sahaja bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan, kita terima dengan baik kerana sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan dan kita anggap sebagai rezeki.

“Namun, sebagai usahawan yang mempunyai organisasi dan menjalankan perniagaan, kita perlu memastikan jualan sentiasa berada pada tahap yang baik.

“Untuk mencapai jualan yang tinggi, organisasi perlu diperkukuh supaya aliran tunai perniagaan dapat dikekalkan dan perniagaan mampu bertahan dalam jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas Biz Malaysia pada Rabu.

Mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan, beliau menyifatkannya sebagai perkembangan positif dalam menangani cabaran yang dihadapi usahawan tempatan susulan persaingan dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

Menurutnya, usaha memperkukuh kawal selia sektor e-dagang diharap dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih adil, selain melindungi kepentingan peniaga tempatan yang berdepan persaingan daripada jenama antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Penganjur World Marketing Summit Malaysia 2026 berharap persidangan berkenaan dapat menjadi platform bagi usahawan tempatan memperluas pengetahuan mengenai strategi pemasaran global, perkembangan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).

“Pendedahan itu penting bagi membantu usahawan menyesuaikan strategi perniagaan dengan perubahan pasaran, sekali gus memperkukuh daya saing dan meneroka peluang pengembangan ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Persidangan selama dua hari pada 4 dan 5 November ini akan menghimpunkan pemimpin industri, pakar pemasaran serta penggiat perniagaan dari dalam dan luar negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.