
DURIAN TUNGGAL, 27 Oktober – Kerajaan menafikan syarikat perladangan Malaysia terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia seperti yang didakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) negara itu.
- Pemantauan MPOB mendapati kebakaran tidak berpunca dari ladang syarikat Malaysia.
- Kebakaran bermula di kawasan lain lalu merebak kerana cuaca terlalu panas namun berjaya dipadam segera.
- Syarikat perladangan tertakluk piawaian kelestarian RSPO dan MSPO yang melarang pembakaran terbuka.
- NGO WALHI mendakwa 21 syarikat berkaitan kumpulan perniagaan Malaysia terbabit kebakaran dari Januari hingga September.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran yang dikesan bukan berpunca daripada ladang milik syarikat Malaysia.
Sebaliknya, beliau berkata, kebakaran berkenaan merebak dari kawasan lain.
Menurutnya, syarikat perladangan tertakluk kepada piawaian kelestarian yang melarang pembakaran terbuka, termasuk ketetapan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Setakat ini, ia (kebakaran) tidak bermula di ladang tersebut. Ia bermula dekat tempat lain tetapi apabila disebabkan cuaca terlampau panas, kebakaran merebak. Bagaimanapun ia dapat dipadamkan dengan segera. Pemantauan mengenainya sering dilaksanakan oleh MPOB,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perasmian JELITA Open Day – 12 Hours Sprint Training di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini.
Terdahulu, media melaporkan NGO alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dan gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit kes kebakaran hutan dan tanah di negara itu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.